KETUA jurulatih baru Felda United FC, Irfan Bakti Abu Salim yakin dapat membawa pasukan Liga Perdana itu beraksi dalam kancah Liga Super pada 2015.

Pengendali berusia 62 tahun itu berkata gandingan muka baru dan berpengalaman mampu menghadirkan kejayaan kepada skuad ‘The Settlers’ dalam saingan Liga Perdana musim ini, meskipun sedar saingan hebat daripada beberapa pasukan lain seperti Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Kedah.

“Rata-rata pemain kita adalah muka baharu dan mereka bertekad untuk mengembalikan maruah Felda United FC iaitu kembali semula beraksi dalam saingan Liga Super pada 2015,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan pasukan berkenaan untuk musim 2014 di Dewan Perdana Felda, di sini, malam tadi.

Menyentuh mengenai persiapan pasukan berkenaan, Irfan Bakti yang mengendalikan pasukan Selangor musim lepas, berkata mereka telah mengadakan beberapa aksi persahabatan pramusim di Australia dan Singapura.

Pada masa sama, beliau turut berpuas hati corak persembahan yang dipamerkan tiga pemain importnya; Zah Rahan Krangar dan Edward Junior Wilson (kedua-duanya dari Liberia) serta Yaroslav Krushelnitskiy dari Uzbekistan yang menepati kehendak beliau dan pengurusan pasukan.

Ditanya mengenai pemilihan Mohd Shukor Adan selaku kapten pasukan, Irfan Bakti berkata keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pengalaman serta sifat kepimpinan berwibawa yang ada dalam bekas pemain pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

“Saya yakin gandingan beliau bersama penolong kapten, Indra Putra Mahayuddin, bekas pemain Kelantan termasuk dua pemain senior, Shahrulnizam Mustapa (Perak) dan Mohammad Khairul Ismail (JDT II) mampu membimbing pemain muda yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukor melahirkan keyakinan gandingan pemain muda dan berpengalaman mampu memberikan cabaran kepada pasukan lain dalam saingan Liga Perdana, musim ini.

“Kalau kita lihat saingan dalam Liga Perdana, musim ini sangat sengit sekali termasuk para jurulatih terkenal yang melatih beberapa pasukan lain contohnya K. Devan (Pulau Pinang), V. Sundramoorthy (Negeri Sembilan) dan Dollah Salleh (PDRM).

“Bagi saya, itu bukan halangan kepada kami untuk memberikan komitmen terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi selain meraih mata maksimum bagi mencerahkan peluang pasukan ke Liga Super, musim depan,” katanya.

Mohd Shukor, anak jati Negeri Sembilan berkata para pemain sudah mula menyesuaikan diri dengan corak permainan masing-masing selepas mengharungi beberapa aksi persahabatan pramusim di Australia dan Singapura.

“Di Singapura, baharu kita dapat mengumpulkan kesemua pemain termasuk tiga pemain import kita yang sebelum ini tidak dapat hadir pada aksi di Australia.

“Jadi, apa yang saya lihat pemain sudah dapat keserasian permainan dan saya harap para pemain agar dapat teruskan komitmen itu dan kekalkan prestasi untuk menghadapi perlawanan selepas ini,” katanya.

Pengarah Sukan Felda, Datuk Ahmad Fuad Daud sebelum ini dilaporkan berkata pengurusan pasukan menyasarkan mereka dapat beraksi pada saingan Liga Super 2015 selain meraih sekurang-kurangnya satu piala, musim ini.

Senarai pemain Felda United FC musim 2014:
——————————————
Penjaga Gol:Mohd Farizal Harun, Mohamad Soffuan Tawil, Md Fairul Azwan Shahrullai.

Pertahanan:Mohd Shukor Adan (kapten), Hasnizaidi Jamian, Mohd Nasriq Baharom, Mohd Rahman Zabul, Adib Aizudddin Ab Latiff, Yaroslav Krushelnitskiy, Qhairul Anuar Roslani, Mohammad Khairul Ismail, Mohd Aizulridzwan Razali.

Tengah:Indra Putra Mahayuddin (penolong kapten), Shahrulnizam Mustapa, Shahurain Abu Samah, Zah Rahan Krangar, K. Thanaraj, Mohd Syahid Zaidon, K Solihin, Ahmad Syamim Yahya.

Penyerang:Mohamad Arif Mat Asin, Edward Junior Wilson, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, Abdul Latiff Suhaimi, Md Asyraf Mohd Al Japri. – Bernama