• Faizal Ismail Faizal Ismail - Foto Ihsan Facebook Faizal Ismail
1 /

SHAH ALAM - Mohd Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI, hari ini mengesahkan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai penyampai radio Hot FM.

Perkara ini disahkan di laman mikro Facebooknya.

"Salam semua, terima kasih kepada yang bertanya, maaf saya tidak boleh jawab secara mendalam.

"Cuma ada yang salah faham yang mengatakan saya letak jawatan 24 jam. Saya kata notis berkuatkasa hari ini 24 Oktober, bukan 24 jam. Apapun, semuanya benar dan bukan status hangit seperti anggapan sesetengah anda. Terima kasih," memetik katanya di Facebook.

Sementera itu menurut laporan portal hiburan Gua.com, ekoran tindakan FBI yang mengatakan bahawa beliau telah meletak jawatan, ramai yang tertanya apakah benar dia telah berhenti dari Hot FM?

Menurut laporan tersebut juga, ekoran daripada perkhabaran tersebut pihak  pengurusan Rangkaian Radio Media Prima Berhad telah menghantar satu kenyataan rasmi berhubung perkara ini dan mengesahkan tentang peletakan jawatan FBI.

Berikut adalah kenyataan rasmi yang dikeluarkan:-

"Pihak pengurusan Rangkaian Radio Media Prima Berhad hari ini mengumumkan bahawa Mohd Faizal Bin Ismail (FBI) akan menamatkan kontraknya bersama stesen radio itu pada 16 November 2013.

Beliau yang lebih dikenali sebagai FBI, berhasrat untuk memberikan sepenuh fokusnya terhadap perniagaan beliau yang baru sahaja bermula. Bagaimanapun, FBI akan meneruskan perkhidmatan beliau bersama Hot FM sehingga pertengahan November 2013.

FBI, sepanjang berkhidmat di bawah stesen radio Hot FM merupakan seorang yang sangat komited dengan tugas sebagai seorang penyampai radio. Beliau yang juga penerima Anugerah Penyampai Radio Lelaki Popular selama 6 tahun berturut-turut sentiasa bersedia dengan idea-idea luar kotak setiap kali diperlukan.

Begitupun, Hot FM akan terus berkolaborasi bersama FBI untuk projek akan datang memandangkan FBI masih relevan dengan pasaran stesen radio tersebut. FBI juga bakal menyumbangkan khidmatnya sebagai penyampai radio sambilan di Hot FM selesai tamat kontraknya nanti.

Hot FM ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada FBI sepanjang penglibatan beliau bersama Hot FM malah pihak pengurusan radio tersebut juga akan terus menyokong karier dan masa hadapan beliau pada masa akan datang."