Setiap kali panggung Makyung dibuka dengan bertabuh dan tarian mengadap rebab, setiap kali itulah perasaan takut menjajah seluruh punca deria. Kurang pasti berapa usia saya ketika itu, mungkin dalam lingkungan antara 10 hingga 13 tahun. Di pedalaman Kelantan itulah tempat saya pertama kali mendapat pendedahan seni taridra makyung.

Entah kenapa tapi gabungan bunyi serunai dan rebab, lentik jemari si penari, suara dan lirikan mata protagonis taridra itu nyata memberkas lalu menyentuh seluruh rawan. Saya gementar. Tapi gementar tak bererti saya pulang ke rumah sebelum tamat makyung, Anak Raja Gondang, Raja Bongsu Sakti dan Dewa Muda bercerita. Di pentas makyung mereka hidup dalam dua alam - nyata dan dewa-dewi.

Taridra makyung awal 80-an, masih jadi antara medium hiburan pilihan. Rata-rata penduduk yang digilis kesempitan kewangan atau dihimpit kesederhanaan (yang sebenarnya hampir pada tahap miskin), bila dapat menonton makyung, indahnya bagai Sahara ditimpa hujan. Mungkin dalam sempit dan sederhana itu mereka tahu bahawa seni adalah satu-satunya cara untuk lari tanpa meninggalkan kehidupan sebenar.

Susur-galur sejarah makyung bukan sedikit. Gemalai taridra yang lazimnya dipentaskan di padang terbuka, makyung berasal dari Pattani, Thailand. Di Malaysia, makyung mendapat tapak dan terus bermastautin di negeri Puteri Saadong itu.

Kalau mengikut tutur orang tua-tua, makyung asalnya dipersembahkan eksklusif untuk para bangsawan dan golongan istana. Namun telah diturunkan kepada hamba rakyat untuk menghormati semangat padi atau mengubat penyakit kronik.

Kemasyhuran tarian makyung mula hilang sengat setelah British menjajah Tanah Melayu dan  kejadian banjir paling buruk dalam sejarah Kelantan - kata nenda saya, “boh air meroh” - tahun 1926.

Metafora teaterikal dan nilai estetika makyung luntur dihakis peredaran zaman dan perkembangan muzik sejagat. Era joget yang menyusul pula langsung tidak membantu taridra lama ini untuk kekal relevan di mata masyarakat.

Dan selagi kita ini manusia, kita akan selalu menghakimi. Sejak kecil saya telah dengar desas-desus tentang anak wayang makyung yang kononnya punya moral kurang baik. Kerana antara mereka ramai yang menyandang status janda. Kenapa pula status janda dan moraliti mesti dibincangkan di atas platform yang sama, saya kurang pasti. Tidak sampai dek akal saya yang masih kecil ketika itu.

Walaupun sedikit takut, taridra makyung cukup mempesonakan di mata saya. Apabila dewasa, saya mula tahu apa yang membuatkan seseorang penari itu hebat bukan kerana teknik yang dipelajari, tapi kerana mereka sungguh percaya dengan bidang seni yang dipilih.

Taridra adalah penzahiran bahasa jiwa. Dan makyung punyai bahasa jiwa yang cukup sempurna. Malah kehebatan makyung diiktiraf dunia apabila Unesco menyenarai taridra ini sebagai Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity, yang merupakan pengiktirafan tertinggi warisan dunia bagi seni budaya.

Tapi tidak semua yang diiktiraf itu senang untuk diperjuangkan. Kata rakan Facebook saya, Dr Zulkifli Mohamad, yang telah menulis tentang masalah yang membelenggu taridra makyung, antaranya adalah: Masalah kurang faham bahasa perantaraan, pengubahsuaian terlampau, kesan urbanisasi, tiada dana, tiada golongan pelapis, tiada promosi dan pendedahan media, juga kurang ahli fikir dan falsafah yang mampu memanjangkan hayat hidup makyung.

Apa yang menyedihkan apabila taridra ini dianggap hanya sebagai suatu fatamorgana.

Kusut jadi perjuangan anak seni apabila orang politik campur tangan. Pemerintah negeri sudah lama mengharamkan makyung, kerana kononnya taridra ini bersifat mengkhayalkan dan membawa unsur-unsur tahyul lagi khurafat.

Macam saya selalu kata, politik tidak boleh dicampur aduk dengan seni, alamat nasib tak tentu haluan masa depan seni kita. Seni di tangan orang politik boleh diibaratkan kera dapat bunga. Bunga jahanam, wanginya hilang.

Di neraca antara tahyul atau tradisi, orang terakhir yang layak mengadili bukan ahli politik, bukan pembesar negeri, tapi anak-anak seni itu sendiri.

• Elviza masih percaya. Pohon bertemu minda di https://twitter.com/elviza