SAYA tidak ingat jumlah sebenar. Tapi rasanya jumlah teko yang ada dalam koleksi peribadi mencecah ratusan biji semuanya.”

Itu kata-kata Zariah Mohammed Suhaily kala mempamerkan koleksi tekonya kepada penulis dan jurufoto.

Dan wanita ini tertawa mesra kala melihat kami terdiam tanpa sebarang reaksi. Kiranya dia sudah biasa dengan reaksi tersebut kerana kami bukanlah yang pertama menunjukkan reaksi sedemikian.

“Setiap orang yang melihat koleksi saya pasti begitulah reaksinya,” sambungnya sambil tertawa.

Menurut wanita yang mesra disapa Hanim ini, minat mengumpul teko memang sudah bercambah sejak zaman remaja lagi. Namun keadaan keluarga yang agak susah tidak memungkin dia menekuni hobi tersebut.

“Ya lah, ayah bukannya orang senang, anak pun ramai. Dengan duit poket yang tak seberapa, rasanya lebih baik beli makanan daripada beli teko, bukan begitu?” katanya diikuti tawa yang panjang.

Namun setelah berumah tangga minat tersebut bercambah semula. Bagaimanapun memandangkan anak-anak lebih diutamakan, teko-teko yang dibeli hanya terhad untuk kegunaan keluarga sahaja. 

“Ada juga saya membeli sebiji dua tapi itu belumlah namanya koleksi, bukan?” sambungnya lagi.


Keunikan teko

Kala ditanya apakah yang menarik tentang teko sehingga membuatkan wanita bertubuh ramping ini teruja untuk mengumpulnya, dia dengan pantas menjawab,
“Keunikannya!”

Kata Zariah, dia merasakan teko adalah antara produk ciptaan manusia yang unik, bukan sahaja dari segi bentuk, tetapi juga corak dan juga cerita di sebaliknya.

“Orang yang tidak berminat mungkin tak ambil tahu. Tapi bagi pencinta teko seperti saya, banyak perkara  tentang teko yang saya perhatikan,” jelasnya.

Antara yang menarik perhatiannya termasuklah bentuk teko. “Macam-macam bentuk teko boleh kita dapati. Ada yang bulat, empat segi, leper dan macam-macam lagi. Hinggakan bentuk kenderaan seperti bas dan kereta, juga haiwan pun ada,” katanya lagi.

Corak pada teko juga menjadi daya tarikan pada wanita yang suka berkemas dan memasak ini.  Katanya semua corak pada teko yang dilihat walaupun nampak ringkas sebenarnya sangat unik. 

“Ada antaranya dilukis dengan tangan. Jadi, walaupun nampak serupa tapi sentuhannya tidak sama,” ungkapnya bersungguh-sungguh.

Dan paling menariknya bagi Zariah, bentuk teko ada kalanya dapat menceritakan tentang budaya atau negara asalnya.

“Macam bentuk teko negara China tak sama dengan teko Jepun ataupun dari Eropah.  Jadi dengan hanya melihat teko kita dapat tahu dari mana asalnya.  Bukankah itu unik?” tanyanya.


Kumpul Teko

Wanita yang peramah ini memberitahu penulis bahawa dia mula mengumpul teko secara serius sejak lebih 10 tahun lalu.

“Saya masih ingat lagi, waktu itu saya mengikut rombongan ke selatan tanah air.  Singgah di Air Hitam kami pun mula membeli-belah sebab di situ banyak jual produk rumah.  Di situ saya terpandang sebiji teko dan terus jatuh cinta. Lalu bermulalah hobi mengumpul teko ini,” katanya lagi dengan tawa panjang.

Walaupun cinta akan teko, Zariah tidaklah membeli begitu sahaja. Katanya untuk mengelak pembaziran, dia seboleh-bolehnya mengelakkan daripada membeli dua biji teko yang serupa.

“Selalunya saya akan cari teko yang unik dari segi bentuk dan rupa ataupun corak.  Tak naklah pakai beli sahaja,” katanya yang turut mengambil kira tentang harga teko yang dibeli.

“Saya taklah membeli teko yang terlalu mahal.  Hish, tak mahulah membazir begitu.  Saya hanya beli jika saya rasa harganya memang berpatutan dengan teko tersebut,” jelasnya lagi.

Namun kata Zariah bukan semua teko yang ada dalam koleksinya dibelinya sendiri. Banyak juga hadiah daripada kawan dan keluarga. 

“Kawan dan keluarga memang tahu tentang hobi saya ini. Jadi kadang-kala apabila mereka terjumpa teko lalu teringatkan saya, mereka pun belikan. Ada juga teko yang orang dah tak mahu dan hendak dibuang, saya minta untuk disimpan.”

Melihat koleksi Zariah yang bertimbun, terlintas di fikiran sama ada semuanya digunakan atau hanya menajdi hiasan ataupun disimpan di dalam stor. Maklum sahaja,  dua atau tiga biji teko untuk kegunaan peribadi dan keluarga adalah sesuatu yang biasa. Tetapi jika  jumlahnya sudah mencecah ratusan, memang luar biasa. 

“Memang kebanyakannya jadi bahan hiasan.  Hanya beberapa sahaja pernah saya gunakan,” katanya yang mengakui mahu terus mengumpul teko jika keadaan mengizinkan.

Zariah tidak pernah merasa hobinya ini satu pembaziran. “Saya tak rasa membazir sebab saya tahu  teko-teko ini ada harganya.  Malah banyak juga yang menawar untuk membeli. 

Cuma saya sahaja yang belum tergamak untuk menjual. Mungkin satu hari nanti, tapi bukan sekarang,” ceritanya sambil membelek sebiji teko dengan penuh rasa kasih sayang.


* Artikel sumbangan majalah MIDI edisi 1 April

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.