TANGGANYA pantas menepis ke kiri dan kanan dan masa sama, mulutnya tidak henti-henti menyebut nama ALLAH Yang Esa. Merayu agar kesulitan dihadapi saat itu dikurangi dan dihindari. Namun bahaya nyata tidak mengenal mangsa.

Kesakitan dan  kepanasan yang menjalari seluruh tubuhnya bagaikan membakar dalam diam.

Dalam sekejapan, dadanya terasa sesak dan dia sukar menarik nafas namun mulutnya masih tidak henti-henti meminta pertolongan dari Allah dan mengharapkan keajaiban terjadi kala itu. Dari belakang, dia terdengar suaminya menyuruh dia berlari dan menyelamatkan diri.

Suaminya menyuruh dia duduk di dalam tong berisi air namun kereta adik ipar yang berada di sisi rumah, akhirnya menyelamatkan dirinya daripada terus disengat. Namun suara suaminya semakin perlahan dan perlahan.

Saat menoleh ke belakang, dia melihat suami tercinta sudah pun sujud di atas jalan raya.

Sujud seperti dalam sembahyang, menundukkan diri. Seperti di dalam firman Allah SWT tentang perintah kewajipan sujud dalam diri seorang manusia, “Wahai orang-orang yang beriman! Rukuklah dan sujudlah kamu kepada Tuhan kamu (ALLAH) dan berbuatlah kebaikan, mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan (surah l-Hajj ayat 77)

Kala itu hatinya terus meminta-minta agar suaminya dipelihara dari segala musibah. Dalam keadaan tubuhnya masih panas dan bengkak namun melihat kepantasan adik iparnya yang berani mengharung dan mendukung suaminya ke dalam kereta, memulihkan kembali kekuatan dirinya.

Sebaik suaminya berada di atas pangkuannya, ingatannya pantas mengingati anak-anak di rumah.

Dalam hatinya menyebut, Ya ALLAH jika hari ini adalah hari terakhirku, aku reda ya Allah, katanya sambil mulutnya terus mengajar suaminya menyebut nama ALLAH.

Dua tiga detik kemudian, dia bagaikan mendengar hembusan nafas yang keluar dari mulut sang suami dan sang suami terus terdiam kaku di pahanya.

Sesampainya di Hospital Kemaman yang mengambil masa setengah jam perjalanan dari rumahnya, dia terus meminta pertolongan daripada jururawat bertugas agar menyelamatkan suaminya dan masa yang sama meminta sedikit air kerana seluruh tubuhnya sudah bengkak dan kepanasan.

“Mereka memberikan rawatan kecemasan kepada saya dan membantu suami.

Namun doktor mengesahkan suami sudah meninggal dunia sesampainya di hospital,” demikian kongsi Khersiyah Tengku Haji Hassan, 50 mengenang kembali kisah dirinya diserang ribuan lebah yang mana dalam kejadian itu, suaminya, Din Ali, meninggal dunia dalam pangkuannya semasa dikejarkan ke hospital.

Sukar dilupakan

Berkongsi pengalaman hidupnya membuatkan penulis ngeri memikirkan bagaimana situasinya saat kejadian itu berlaku.

Sekalipun kejadian ini sudah berlaku lebih dua tahun iaitu pada 30 Oktober 2010 di Kampung Tanah Lot, Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu namun Khersiyah masih mengingati peristiwa itu dengan mendalam.

“Ia masih kukuh di ingatan. Bercerita dengan adik ini pun, hati saya masih bergetar mengingatinya,” katanya pantas menyeka air mata yang mula mengalir.

Penulis memahami apa dirasainya. Dia menjadi saksi kematian suaminya, dia juga berkongsi sengatan lebah yang mengharungi mereka berdua malah demi dirinya, suaminya merelakan dirinya disengat dan terus menyuruh dia menyelamatkan diri terlebih dahulu.

Cerita Khersiyah, pada hari kejadian, dia tidak berapa sihat malah suaminya ada menyuruhnya duduk saja di rumah berehat.

“Sekali pun kurang sihat, saya berasa kasihan kepada abang untuk membenarkan dia menoreh seorang diri kerana kakinya masih terdengkot-dengkot ketika itu akibat dilanggar  lori semasa menghantar anak ke sekolah.

Doktor menyuruhnya berehat selama enam bulan namun masa kejadian disengat lebah, baru empat bulan berlalu dan kakinya belum sembuh betul.

“Kami turun ke kebun kira-kira jam tujuh pagi dan habis menoreh sekitar jam 11.00 pagi lebih. Tiada apa pun keganjilan saya nampak di kebun namun sewaktu ke jalan raya,  tangan saya tiba-tiba menepis sesuatu yang hinggap di mulut.

Tidak sempat memikirkan apa yang saya tepis, satu lagi hinggap mengena di bibir dan saya terasa sangat pedih. Terus saya memanggil suami bertanyakan ulat apa yang menyengat saya.

“Belum sempat suami menjawab, dia menyuruh saya segera berlari kerana ribuan lebah mula mengharungi seluruh tubuh saya.

Sakitnya hanya Allah yang tahu. Masa yang sama saya teringatkan petua diberi orang agar kita membuka kain yang menutup bahagian kepala tapi nampaknya cara itu tidak berkesan.

Ketika itu abang juga sudah mula disengat lebah dan ketika saya menjerit memberi tahu kasut but tertanggal, abang berpatah balik ke belakang mengambil kasut itu untuk saya.

“Kami berdua terus berlari dan abang berkali-kali menyuruh saya menyelamatkan diri.

Sekali pun kakinya masih sakit tapi ternyata kudratnya masih kuat dan saya pula tertinggal di belakang. Namun abang terus menyuruh saya berlari dan menyebut nama Allah SWT agar menghindarkan kami daripada kesulitan ini,” kata Khersiyah sambil menyeka air matanya.

Dikejar lebah

Tambah ibu lima orang anak ini lagi, Muhammad Asmadi, 22, Ahmad Zuzain, 19, Nor Akmal Nabihah, 17, Nor Akmal Syafikah, 15 dan Hafiz Iman, 10 tahun, bisa sengatan lebah telah menjalar ke seluruh tubuhnya hinggakan dia merasakan dadanya mengalami sesak nafas.

“Panasnya jangan cakap, macam dipanggang dengan bara api. Beribu-ribu mengerumuni menyengat saya dan suami. Bisanya boleh buat sesak nafas. Saya tak boleh bayangkan, berapa banyak sengatan di tubuh abang kerana semasa menerima rawatan di hospital, mereka mengeluarkan 120 bisa dari tubuh saya. Muka jadi bengkak semacam dan panasnya susah digambarkan dengan kata-kata,” kata mengingati peristiwa lalu.

Cerita Khersiyah lagi, semasa dikerumuni lebah itu, suaminya sering menyuruhnya berlari dahulu dan menyelamatkan diri.

“Kami berlari di hadapan rumah. Jiran-jiran yang ada pun tidak berani menolong kerana terlalu banyak lebah. Mana yang duduk dalam kereta pun tidak berani membukanya. Saya terdengar suami menyuruh saya berlari menyorok di dalam tong air. Nasib baiklah ketika itu, adik ipar ada di rumah. Dia berlari membuka kereta dan saya memasuki dengan pantas. Masa duduk dalam kereta pun masih ada empat lima ekor lebah di dalamnya dan semuanya saya tampar hingga mati.

Panasnya usah di cakap, berapi-api. Bila adik ipar bukakan penghawa dingin baru terasa lega sedikit dan masa yang sama saya melihat dia berlari memapah abang masuk ke dalam kereta dan kami terus memecut kereta ke Hospital Kemaman.

“Dalam kereta, saya menyuruh abang mengingati ALLAH dan berkali-kali saya menyebut ALLAH di telinganya namun abang tetap membisu. Saya terfikir, andainya ajal saya sampai hari ini, saya serahkan nasib anak-anak kepada adik beradik saya untuk menjaganya. Semasa mengajar abang menyebut ALLAH itulah saya melihat dia menarik nafas dengan dalam dan terdengar hembusannya sebelum abang terdiam kaku.

Di hospital, doktor mengesahkan abang sudah meninggal dunia.

Kemungkinan juga akibat serangan jantung kerana saya sendiri ditahan wad sehari semalam dan jenazah abang dikebumikan esoknya selepas menunggu saya keluar dari hospital,” katanya mengakui selepas hari ke 40 barulah dia berani keluar untuk menoreh semula demi membesarkan anak-anak.
 
* Dapatkan laporan lanjut dalam majalah Mingguan Wanita edisi 15-21 Februari

Artikel berkaitan yang patut anda baca :