LAMA penulis tidak bertemu dengan wanita ini. Saat berjumpa dengannya baru-baru ini, penulis diberitahu yang dia sudah pun bercucu. Seronok dia bercerita tentang kerenah cucu-cucunya itu.  Apabila ditanya berapa orang cucunya, laju dia memberitahu,” Lapan masuk sepuluh!”

Tidak mahu melepas peluang menemu bualnya untuk ruangan Oh Nenek Oh Cucu ini, kami mengatur janji. Terbayang kemeriahan saat gambar-gambar mereka dirakamkan nanti. Sayang sekali apabila yang ada petang itu hanya dua orang, manakala selebihnya tidak dapat hadir atas faktor masa.

“Kami ni keluarga besar. Kalau nak berjumpa, memang kena atur masa betul-betul. Tambahan pula  cucu yang dua orang tu bukan di sini. Anak saya yang kedua, Intan Fairuz Zulkarnain dan suaminya, Mohd Syahrul Rezal Abdul Manaf  menetap di Kota Baharu, Kelantan kerana mengusahakan perniagaan mereka, Intan Bridal. Jadi Adib Benjamin, 7 tahun, dan adiknya, Alesya Jasmeen, 5, ada di sanalah,” jelas Sharifah Zaini Syed Yusof sambil ketawa kecil, memulakan perbualan kami petang itu.

Namun kehadiran dua orang cucunya daripada anak yang sulung, Ahmad Zulzaidi sudah cukup menghiburkan. Dengan ditemani mamanya, Nooraini Ajui, Ahmad Daniel, 6, dan adiknya Ahmad Darwisy,5, leka bermain dengan pelbagai mainan yang ada.  Menurut Sharifah Zaini yang dipanggil ‘Atok’ oleh cucu-cucunya, suasana akan tambah meriah kalau ahli keluarga yang lain turut sama.

Menurut wanita berkulit cerah ini, dia tidak pernah menyangka akan bergelar nenek saat usianya mencecah 45 tahun. Tambahan pula ketika itu, dia masih bekerja di salah sebuah syarikat swasta dengan memegang jawatan Pengurus Sumber Manusia. Biar dihimpit kesibukan, dia tetap memberi tumpuan dan perhatian kepada ahli baru dalam keluarga itu.

“Cucu tu, siapa tak sayang. Ketika memegang Benjamin buat pertama kali, perasaan terasa seperti melahirkan Eddie (panggilan untuk anak sulung) dahulu,” jelas wanita yang turut mesra disapa Zai sahaja.

C/H : Seronok ramai cucu

Kini pada usianya 52 tahun, Zai sudah memiliki lapan orang cucu. Selain anak sulung dan keduanya, anak ketiga dan bongsunya juga sudah memiliki keluarga sendiri.

Shakira Batrisyia, 7 tahun, Syafiqa Arianna, 6, dan Shahira Amani, 2, merupakan puteri-puteri comel anak ketiganya, Nur Hanni Abdul Halim. Manakala anak bongsunya Nur Haziqah juga mempunyai seorang puteri yang diberi nama Nur Qaseh Amanda yang berusia dua tahun.

“Dua lagi cucu saya bakal menyusul apabila Nooraini dan Nur Hanni sedang mengandung empat bulan. Panjang umur saya raya nanti, meriah rumah,” katanya lagi sambil meriba Darwisy yang pemalu.

Bertanya lanjut tentang hubungannya dengan cucu-cucu yang ada, Zai memberitahu, “ Hubungan kami anak-beranak memang rapat. Walaupun berjauhan, kami sering bertanyakan khabar antara satu sama lain. Bagaimanapun setiap dua bulan kami akan berkumpul seisi keluarga. Selalunya rumah emak di Rawang menjadi medannya. Bukan sahaja anak-beranak saya, dua lagi adik saya turut datang ke rumah. Kira-kiranya perjumpaan bulanan keluarga kamilah tu.”

Kini sudah dua tahun Zai bersara daripada pekerjaannya. Selama itu jugalah dia memberi tumpuan penuh terhadap Daniel dan Darwisy yang tinggal bersama. Begitupun menurut Zai, perhatian yang diberikan terhadap cucu-cucunya tidak melebihi tanggung jawab sebagai ibu yang dijalankan oleh menantunya.

“Saya selalu dengar orang cakap, kasih sayang atuk dan nenek boleh merosakkan cucu. Lebih-lebih lagi yang tinggal bersama. Atas sebab itu, saya harus mengehadkan ‘kehadiran’ saya di antara cucu-cucu dan ibu bapa mereka. Saya tak mahu nanti kasih sayang saya dan suami yang melimpah ruah pada mereka, boleh merenggangkan hubungan mereka anak-beranak pula,” ujarnya.

Namun menurut Zai, jika ada perbuatan cucunya yang tidak kena, dia akan menegur mereka sebagaimana yang dilakukannya dahulu sewaktu membesarkan anak-anak.

Cuma dalam mengajar anak-anaknya cara yang terbaik untuk mereka membesarkan anak-anak mereka pula, Zai lebih senang mengambil sikap tidak masuk campur.

Sememangnya dia lebih senang memberikan kebebasan kepada Eddie, Intan, Hanni dan Haziqah dalam menentukan cara terbaik untuk mengasuh dan mendidik cucu-cucunya itu.

Diusik dengan bilangan cucu yang ingin dimiliki, Zai memberitahu,” Selagi mereka mampu, Atok dan Tok Uncle (panggilan cucu pada suami) akan menerima dengan hati dan tangan yang terbuka.”
 

* Artikel sumbangan majalah MIDI edisi 15 April 2013

Artikel berkaitan yang patut anda baca :