• risiko air ketuban pecah Risiko air ketuban pecah
1 /

Semakin hari, semakin kuat debaran Hajar menanti detik bayi keempatnya yang dijangka dilahirkan tanggal 27hb. Namun, sehari, dua hari sehingga seminggu berlalu meninggalkan tarikh jangkaan itu, tiada tanda-tanda Hajar bersalin.

Debaran Hajar semakin kencang. Ada masalahkah kandungannya? Soalan itu berselang-seli dengan debaran yang terus melanda diri. Segala persiapan sudah dibuat jika kemungkinan dia akan bersalin bila-bila masa. Akhirnya, setelah lebih seminggu berlalu, barulah Hajar menunjukkan tanda-tanda sakit bersalin. Walau bagaimanapun, disebabkan kekurangan air ketuban, Hajar terpaksa menjalani kelahiran secara pembedahan berbanding tiga orang anaknya yang dilahirkan secara normal.

Pengalaman sebegini mungkin kerap dialami terutama bagi ibu yang melahirkan anak sulung. Walau bagaimanapun, ia mungkin dianggap perkara biasa justeru tidak ramai mengetahui pentingnya air ketuban serta risiko yang dialami sekiranya kekurangan air ketuban.

Air ketuban merupakan cecair yang berasal daripada rembesan kulit bayi dan produk air kencing bayi yang mengelilingi bayi semasa dalam kandungan ibu. Biasanya bersifat jernih dan tidak berwarna, tetapi boleh bertukar menjadi warna kepada kehijau-hijauan atau kecoklatan sekiranya bercampur dengan najis janin.

Antara sifat air ketuban ialah tidak pekat seperti lelehan faraj dan tidak berbau sebagaimana air kencing, sebaliknya ia bersifat cecair dan cepat membasahi atau meleleh apabila terpecah.

Air ketuban akan terus memenuhi kantung rahim sepanjang tempoh kehamilan. Fungsinya sangat penting. Antaranya ialah mengisi ruang perantara di antara janin, tali pusat dan dinding rahim bagi membantu penyerapan kesan hentakan luar (trauma kemalangan), menyerap kesan himpitan sekiranya berlaku pengecutan rahim, selain daripada menstabilkan suhu persekitarannya. Kepentingannya yang lain ialah bertindak sebagai lapisan pendinding kepada jangkitan dan memberi ruang kepada bayi dalam kandungan untuk menggerakkan anggota tubuh iaitu kaki dan juga tangannya.

Air ketuban juga boleh pecah sama ada secara sendiri mahupun menerusi prosedur tertentu. Salah satu penyebab kepada ketuban pecah ialah prosedur memecahkan kantung ketuban yang biasanya dilakukan oleh doktor sewaktu ibu hamil mengalami kontraksi.

Selain itu, air ketuban yang terlalu berlebihan pula boleh menyebabkan rahim menjadi terlalu tegang dan tidak dapat menahan tekanan di dalamnya lalu pecah. Malah, kelainan sifat tegar selaput ketuban yang menjadikannya lemah juga boleh menyebabkannya mudah bocor.

Risiko ketuban pecah mungkin boleh terjadi sewaktu atau sejurus selepas kebocoran terutamanya kepada ibu hamil yang mempunyai masalah polihidramnios dan kedudukan janin tidak normal. Tali pusat boleh jatuh ke dalam faraj hingga menjadi punca kepada penyebab bayi lemas. Kebiasaannya tindakan segera akan diambil doktor dengan melakukan pembedahan Caesarean bagi mengeluarkan bayi.

Uri boleh lekang daripada terus melekat pada dinding rahim disebabkan faktor perubahan tekanan yang berlaku secara mendadak akibat daripada kebocoran besar seperti di dalam kes polihidramnios. Apabila ini berlaku, ibu hamil juga boleh kehilangan darah dalam jumlah yang banyak dan pada masa yang sama boleh membahayakan keselamatan bayi yang dikandung.

Risiko-risiko lain yang boleh berlaku termasuk jangkitan kuman (chorioamnionitis) jika ketuban pecah melebihi 24 jam. Kuman boleh menjangkiti air ketuban dan janin melalui faraj serta boleh mengakibatkan pneumonia. Ia juga boleh memasuki aliran darah janin dan ibu (sepsis).

Kedudukan janin boleh kekal tidak normal kerana kekurangan atau ketiadaan air ketuban bagi memberi ruang untuk janin bergerak dan membetulkan kedudukannya. Sindrom aspirasi meconium pula boleh terjadi di mana kandungan air ketuban yang sedikit menyebabkan najis janin tidak cair dan meningkatkan risiko terhadap bayi jika najis memasuki ruang pernafasannya.

Oleh itu, air ketuban yang keluar tidak harus dipandang ringan. Sekiranya anda mengesyaki air ketuban keluar sebelum tiba waktunya, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan dan menjalani rawatan susulan.


Informasi :
Oligohydramnios (kekurangan air ketuban), Antara risikonya:

1.    Janin berkemungkinan lemas akibat gangguan aliran darah dan oksigen daripada ibu kepadanya apabila tali pusat terhimpit.
2.    Penyempitan ruang dalam rahim boleh mengganggu pembentukan paru-paru, menyebabkan kecacatan pada anggota kaki serta kedudukan janin tidak normal.
3.    Kelahiran pramatang dan komplikasi berkaitannya boleh berlalu seperti kesukaran pernafasan (respiratory distress syndrome), masalah usus (nectrotizing enterocolitis), pendarahan otak (intraventricular haemorrhagel) dan jangkitan darah (septicaemia).
4.    Kematian sebelum lahir (mati dalam rahim).

Polihidramnios (air ketuban terlalu banyak), Antara risikonya:

1.    Kedudukan bayi tidak stabil. Bayi akan sering bertukar kedudukannya seperti songsang, melintang dan kepala ke bawah.
2.    Kandungan nampak terlalu besar dan berat. Kesannya kepada tulang belakang amat ketara apabila anda berasa tidak selesa terutamanya di trimester akhir kehamilan.
3.    Risiko kelahiran pramatang adalah tinggi kerana proses kelahiran boleh berlaku lebih awal.
4.    Disebabkan kedudukan bayi yang tidak tetap, risiko melahirkan bayi secara Caesarean adalah tinggi.
5.    Bayi juga berkemungkinan mempunyai kecacatan. Ia boleh dikesan melalui pemeriksaan ultrabunyi.
6.    Kadangkala masalah ini boleh menyebabkan anda mengalami kesukaran bernafas, berjalan dan lain-lain.


Dapatkan butiran lanjut dalam majalah Seri Dewi & Keluarga edisi Jun di pasaran sekarang.