Cover MIDI
MIDI - Dapatkan isu 15 Ogos 2012 di pasaran!
Resipi keluarga bahagia pasangan Norma & Noordin
Nordin - Norma

JATUH cinta ialah momen paling indah dalam hidup seseorang. Hati pasti berbunga riang apabila cinta yang dihulurkan disambut dengan ikhlas. Janji sehidup semati, dimeterai dengan ikatan perkahwinan berlandaskan cinta sejati untuk menghalalkan hubungan.

Mengimbau kenangan cinta semasa muda mengundang bahan ketawa. Kadang-kadang banyak perkara pelik dilakukan demi memenangi hati gadis atau pemuda yang dicintai.

Setiap orang mempunyai rahsia cinta tersendiri termasuk Norma Ramli, 54, dan suaminya Noordin Abas, 54. Gurau senda dan usik-mengusik ialah resipi bahagia buat pasangan yang telah melayari bahtera rumah tangga selama 31 tahun ini.

“Saya sendiri tidak menyangka pertemuan kami dahulu atas urusan kerja di Pelabuhan Klang telah menyatukan kami sehingga sekarang. Benarlah kata orang kalau sudah jodoh ,pasti tidak ke mana.

“Saya berasal dari Kuala Kangsar, Perak terkahwin dengan orang Kuantan dan menetap di sini,” kata Norma memulakan bicara sewaktu pertemuan kami di kediaman yang baru diduduki sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan yang ke-31 di Kuantan, Pahang.

Seronok melihat telatah pasangan bahagia ini. Sepanjang temu bual dengan wartawan MIDI, Noordin sering mengusik isterinya sehingga kemerahan wajahnya menahan malu apabila diusik di depan kami. Mungkin ini yang membajai hubungan mereka fikir penulis.

“Sebenarnya tiada apa-apa yang boleh dikongsi bersama. Pada saya sesebuah hubungan itu memerlukan sifat bertolak-ansur dan saling percaya. Apabila dua sifat ini ada dalam sesebuah perhubungan pasti akan bahagia.

“Namun, jika tiada sifat ini pasti sesebuah hubungan tidak aman. Ada sahaja rasa sangsi di hati,” kata Norma yang berhenti bekerja setelah berkahwin kerana menguruskan rumah tangga dan membesarkan empat orang anak.

“Memang benar, percaya kepada pasangan dan bertolak ansur penting dalam sebuah perkahwinan. Jika tidak percaya susah kami sebagai suami untuk keluar bekerja.

“Bergaduh manja juga boleh mengeratkan hubungan suami isteri. Lebih-lebih lagi setelah lebih 30 tahun bersama,” kata Noordin menambah perbualan kami.

Kata orang, untuk memikat hati suami adalah dengan mengikat perutnya.

Menurut Norma, dia beruntung kerana suami tidak cerewet tentang makanan. Suami akan makan apa-apa sahaja yang dimasaknya. Semua air tangannya menjadi terutama asam pedas yang berjaya mengikat selera suaminya.

“Sekarang apabila anak-anak sudah besar dan mempunyai keluarga sendiri, kami  tinggal berdua sahaja di rumah ini. Saya memasak apabila anak-anak balik berkumpul di rumah ini. Ketiga-tiga anak saya tinggal di kawasan berdekatan kecuali anak ketiga yang melanjutkan pelajaran di luar negara.

Kadang-kadang apabila teringin makan sesuatu kami akan mencari. Pernah kami berdua memandu ke Kuala Lumpur hanya untuk makan makanan Arab di Bukit Bintang,” kata Norma yang suka meraikan tetamu ini.

Pasangan ini juga bersikap terbuka dalam mendidik anak-anak. Mereka memberi kebebasan kepada anak-anak memilih kerjaya mengikut minat masing-masing.

Bagi mengeratkan hubungan keluarga ini, Norma sering membuat barbeku dan makan bersama di laman mereka. Selain itu, aktiviti yang wajib dilakukan ialah bercuti bersama-sama.

Ingin mengetahui lagi tips bahagia pasangan ini, dapatkan majalah MIDI edisi terbaru

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.