SETIAP keluarga pastinya mempunyai hidangan kegemaran yang akan dihidangkan tatkala berkumpul bersama. Bagi Evie Bustami, antara hidangan istimewa yang menjadi pilihan keluarganya termasuk Risoles.

Menurut Evie yang berasal dari Indonesia, Risoles merupakan pastri berinti daging dan campuran sayur-sayuran yang dibungkus dan digoreng . Enak dimakan begitu sahaja atau dicecah bersama sos.

Dia mempelajari teknik menyediakan Risoles daripada ibu saudaranya apabila dia berhadapan dengan masalah pemakanan anak-anaknya.

“Saya mula belajar membuat Risoles semasa anak-anak saya masih kecil. Ketika mereka kecil, mereka kurang gemar makan nasi. Jadi, saya gantikannya dengan Risoles yang mengandungi nutrisi lengkap termasuklah  karbohidrat (tepung), protein (ayam/daging), vitamin (lobak merah) dan susu,” ujar Evie sambil menghidangkan makanan kegemaran keluarganya itu.

Menurut Evie lagi, Risoles sememangnya makanan kegemaran seisi keluarga terutama sebagai hidangan semasa berbuka puasa atau pada majlis-majlis istimewa. Tambah Evie lagi, tidak sukar menyediakan Risoles dan bahan-bahannya mudah didapati.

Risoles yang berasal dari Belanda ini amat popular di Indonesia memandangkan Indonesia pernah dijajah Belanda suatu ketika dahulu.



RISOLES

 

Bahan untuk kulit:

100 gm tepung gandum

2 biji telur

200cc air

100 cc susu segar

 ½ sudu makan marjerin yang sudah dicairkan

 

Bahan untuk isi:

250 gm ayam/daging (dicencang)

2 biji ubi kentang (rebus dan potong kecil-kecil)

1 biji lobak merah (potong dadu)

6 ulas bawang putih

Sedikit lada putih

Garam secukup rasa.           

 

Cara membuat:

1. Campur semua bahan kulit di atas.

2. Kemudian tapis. Panaskan kuali leper yang sudah disapu marjerin.

3. Ambil tiga sudu makan adunan dan dijadikan seperti lempeng.

4. Ulang sehingga adunan habis.    

5. Untuk menyediakan inti pula, tumis bawang putih hingga wangi, kemudian masukkan daging.

6. Apabila daging sudah setengah masak, masukkan ubi kentang dan lobak merah. Tambahkan lada putih dan garam.

7. Angkat dan sejukkan. Ambil sehelai kulit dan bubuh sesudu isi daging.

8. Lipat seperti bentuk popia. Sapu dengan putih telur dan salutkan dengan serbuk roti.

9. Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan.


 * Artikel sumbangan majalah MIDI edisi 15 April 2013

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.