SUNGGUH besar jasa seorang ibu. Sedari janin di alam rahim sehinggalah bayi lahir menjenguk dunia, membesar melalui usia riang kanak-kanak, beralih ke zaman remaja dan seterusnya menjadi dewasa, pelbagai pengorbanan telah ibu lakukan.

Insan bernama ibu sanggup bersusah payah, malah sedia bertaruh nyawa demi kebahagiaan  si anak. Biar sesukar dan sebesar mana risiko yang perlu dihadapi, itu bukanlah satu halangan buat ibu untuk terus berbakti.

Bagi ibu, itu bukan satu pengorbanan tetapi ia adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai seorang ibu.  Betapa murninya kasih seorang ibu.

Bagi Herna Selamat, 31 tahun yang hamil cahaya mata keempat, keputusan untuk menambah bilangan ahli keluarga jauh daripada perancangan asalnya dan suami, Jefri Ramlan, 34 tahun. Namun kuasa Tuhan, tidak dapat sesekali hamba-Nya yang kerdil ini mampu menolaknya. Herna perlu hamil demi anak ketiganya, Amyra Balqis.

Walaupun sedar risiko yang perlu ditanggung wanita yang berasal dari Banting ini merasakan dia perlu melakukan sesuatu demi nyawa Amyra yang disahkan menghadapi leukemia. Dia tidak betah melihat anaknya itu terbaring mengharungi kesakitan sebaliknya dia sebagai ibu harus bertindak agar dia kembali sihat.

“Alhamdulillah, usia kandungan kini sudah enam bulan. Doktor yang menyarankan agar saya hamil lagi untuk mendapatkan darah tali pusat yang akan memberi peluang Myra untuk pulih dari penyakitnya,” katanya.

Menurut Herna, dia dan suami tidak menyangka bahawa Myra menghadapi penyakit yang serius. Awalnya mereka hanya menyangka anaknya itu mengalami demam denggi namun kebimbangan mula menyelubungi hati apabila ujian darah menunjukkan keputusan yang berlainan.

“Kami sekeluarga gemar keluar bersiar. Bagaimanapun kami mulai sedar tingkah Myra yang ketika itu berusia tiga tahun agak berbeza. Dia mudah kepenatan dan minta didukung. Tidak seperti kebiasaan kerana Myra seorang kanak-kanak yang aktif.

“Ada kalanya saya dan suami memarahinya kerana terlalu manja dan mahu didukung sahaja. Inilah yang membuatkan kami berasa terkilan. Sehinggalah pada suatu hari Myra demam. Tapi kami menyangka dia demam denggi berikutan banyak kes denggi berlaku di kediaman kami,”ujarnya yang kemudian ke hospital selepas disarankan oleh doktor di klinik berikutan demam melebihi tiga hari.

“Di hospital, Myra menjalani rawatan demam denggi selama seminggu tetapi masih tiada perubahan. Apabila pakar perubatan datang membuat pemeriksaan, menurutnya hati Myra membengkak sehingga enam sentimeter.

“Untuk mendapatkan kepastian, darah Myra diambil sebanyak lapan botol. Setelah tiga hari, keputusan menunjukkan Myra sah menghidapi leukemia,”ungkap Herna tenang.

Ketika itu katanya doktor menerangkan kepada dia dan suami mengenai penyakit tersebut dan keperluan untuk mendapatkan air tulang belakang. Namun dia meminta sedikit masa untuk berfikir tentang perkara tersebut dan mendapatkan nasihat keluarga terlebih dahulu.

“Ada ahli keluarga yang membantah tetapi atas nasihat seorang saudara yang merupakan doktor, dia menasihati kami agar Myra mendapatkan rawatan,” cerita Pembantu Tadbir di agensi kerajaan ini.
 
Seminggu menangis


Ternyata masa tersebut merupakan tempoh yang paling sukar untuk Herna dan suami. Myra juga dirujuk ke hospital berlainan kerana kemudahan yang lebih lengkap. Melalui pemeriksaan lengkap, barulah diketahui bahawa Myra mengalami kanser darah tahap pertama.

“Saya dan suami tidak dapat menerima hakikat. Seminggu kami berdua menangis mengenangkan nasib Myra tetapi semangat suami lebih kuat berbanding saya. Dia memujuk saya agar kembali kuat.

“Saya juga menggunakan Facebook untuk meluahkan perasaan saya dan rakan-rakan banyak memberi nasihat dan semangat. Ada juga yang tidak lokek menghulurkan sumbangan kerana tahu masalah kewangan yang kami lalui,”katanya lagi

Sejak itu cerita Herna Myra yang sedari kecilnya sukar jatuh sakit menjadikan hospital rumah keduanya. Dua bulan pertama anak keduanya itu menjalani kemoterapi yang merupakan fasa pertama rawatan.

Ini diikuti dengan fasa kedua yang memerlukan Myra ke hospital sekali seminggu untuk memasuki darah ke tubuhnya. Rawatan yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3 pagi itu begitu memenatkan bukan sahaja buat Myra tetapi dia yang menemani. Lanjutan dari itu, Myra perlu melalui lima fasa rawatan selanjutnya yang dilakukan secara bergilir-gilir.

“Syukurlah fasa rawatan tersebut telah berakhir. Myra anak yang baik. Dia tidak pernah mengadu sakit ketika menjalani kemoterapi. Cuma selepas rawatan berakhir, dia mudah marah dan mengamuk.

“Ada kalanya dia berkehendakkan pelbagai makanan dan kami sedaya upaya cuba menunaikan. Pernah dia meminta ayam goreng segera pada satu pagi tetapi apabila diberikan, dia tidak mahu. Mempunyai anak yang sakit ini, ibu bapa perlu banyak bersabar.

“Keadaan kami sekeluarga agak kucar-kacir. Apabila Myra demam, dia perlu segera ke hospital dan kebiasaannya Myra dimasukkan ke wad. Kekerapan berada di hospital, saya perlu mengambil cuti kecemasan. Bukan cuti bergaji, malah cuti separuh gaji juga kehabisan.

Sekarang ini saya bercuti tanpa gaji. Sebenarnya lebih banyak bercuti daripada bekerja.

“Mujurlah majikan suami memahami. Walaupun dia bertugas secara syif tetapi suami dibenarkan bertugas malam, dari jam enam petang hingga tiga pagi. Kami bergilir-gilir menjaga anak-anak. Apabila saya pulang bekerja, saya pula mengambil alih tugas suami,” tutur Herna lagi.

Sanggup berkorban apa saja

Bukan itu sahaja yang membelenggu fikiran ibu ini,  setiap kali Myra dimasukkan ke wad, dia akan menemani. Ketika ini ditinggalkan dua cahaya matanya yang lain, Bihublillah, 9, dan Farah Nabilah, 6 tahun.

“Saya terpaksa tinggalkan anak-anak di rumah apabila perlu bermalam di hospital manakala suami ke tempat kerja. Ada orang yang marah dengan tindakan kami tetapi apa daya kami. Lebih merisaukan kami apabila anak sulung mempunyai penyakit asma. Untuk memastikan keselamatan anak-anak, saya dan suami kerap menelefon mereka.

“Dalam masa yang sama, saya tidak boleh meminggirkan dua anak yang lain. Mereka juga berhak mendapat perhatian daripada saya dan suami. Dengan kandungan yang semakin sarat, saya berdoa agar Allah S.W.T mengurniakan kesihatan yang baik kepada saya dan bayi.

Melihat kepada sejarah perubatan, saya tidak dibenarkan mengandung. Ini kerana saya mengalami masalah cyst dan telah menjalani pembedahan membuang sedikit bahagian serviks pada Julai tahun lalu.

“Menurut doktor, risiko yang bakal dihadapi jika saya mengandung ialah bayi pra matang, pendarahan dan lebih dibimbangi, kematian. Doktor menyarankan agar saya bersalin apabila usia kandungan 36 minggu.

“Saya dimaklumkan bahawa salur peranakan saya diikat kerana bayi tidak boleh lebih besar daripada karung kerana ia boleh membawa maut kepada saya.  Namun sebagai ibu, saya sanggup berkorban apa sahaja demi Myra.

“Jika darah tali pusat itu adalah alternatif terbaik untuk Myra kembali sembuh, saya bersedia berhadapan risiko tersebut.  Saya cuma mahukan yang terbaik kepada anak-anak,” ujarnya. 

* Dipetik dari majalah Mingguan Wanita. Dapatkan edisi terbaru di pasaran

Artikel berkaitan yang patut anda baca :