MASIHKAH pembaca mengingati peristiwa pembunuhan ke atas seorang kakitangan Pejabat Hutan Daerah Bentong, Khairul Hazri Jamaludin, 3 November lalu. Dalam kejadian sekitar 4.40 pagi di kuarters Pejabat Hutan Bentong, Jalan Tras, mangsa dipercayai sedang lena tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi jeritan dari isterinya.

Dipercayai dia dihentak di bahagian belakang kepala dari senapang yang dipegang penjenayah selepas cuba mempertahankan isterinya daripada dirogol penjenayah terbabit.

MW menelusuri sungai Temerloh menuju ke kampung halamannya di Kampung Padang Tenggala bagi menemui keluarga arwah Khairul Hazrin atau mesra disapa Yoi di kalangan adik beradiknya bagi berkongsi  luahan hati ahli keluarganya.

Bagi mendapat kisah ini awal pagi lagi, penulis sudah memulakan perjalanan menuju ke Temerloh. Perjanjian bersama skuad Sinar Harian Temerloh, M Faizal sehari sebelum itu untuk menemani kami ke rumah keluarga mangsa memudahkan kerja.  

Semasa menanti kehadirannya penulis duduk di tepi Sungai Temerloh. Memerhatikan airnya mengalir lesu. Mungkin sama dengan hati ahli keluarga mangsa.  Di kedai makan itu, akhbar Sinar Harian Edisi Pahang memaparkan tajuk utama “Lelaki paling di kehendaki direman”.

Dalam laporan akhbar ini menyebut, suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan  Khairul Hazri berasal dari Tambunan, Sabah, mempunyai 13 kes jenayah melibatkan jenayah rogol, bunuh dan samun sejak Mac 2009 hingga 14 November lalu.

Malah suspek dipercayai melakukan enam kes rogol dan empat kes bunuh melibatkan lima kematian. Subhanallah, tak dapat membayangkan bagaimana mangsa dan isterinya ketika menempuh penjenayah terbabit. Sedang membaca akhbar terbabit, M Faizal tiba.

Katanya, dia mengenali arwah Yoi sejak di bangku sekolah lagi malah mereka pernah merancang bercuti bersama-sama Disember ini namun tidak kesampaian bila kejadian menimpa. Menurutnya arwah juga menjadi pengapitnya ketika dia berkahwin dahulu. Selang beberapa ketika, kami menuju ke rumah keluarga arwah Khairul Hazri.

Isteri diacukan senapang

Kedatangan kami disambut oleh sebahagian ahli keluarganya. Ibu arwah Siti Hajar @ Bedah Hussin, 72, kakaknya, Jamilah, Hafizah, abangnya, Ahmad Jamal, 38 serta anak-anak buahnya.

Belum lagi temu ramah dilakukan, pandangan mata penulis bertemu dengan si ibu Siti Hajar. Tisu sudah berada di tangannya, begitu juga dengan kakak-kakak arwah, masing-masing sudah mengalirkan air mata apabila soalan pertama diajukan.

Sebak! Itulah yang dapat dirasakan. Kejadian yang menimpa ke atas Yoi benar-benar membuatkan keluarga ini terasa kehilangan apatah lagi saban minggu, arwah akan balik ke kampung halamannya.

Dalam situasi sedih keluarga ini, Hafizah lebih tabah untuk bercerita. Katanya mereka sekeluarga menerima kematian Yoi kerana ajal maut di tangan Allah namun cara kematiannya membuatkan mereka sukar menerima hakikat. Ujarnya mereka sekeluarga mengetahui tentang tragedi yang berlaku ke atasnya selepas diberitahu oleh bapa mentua Yoi.

“Bapa mentuanya datang dari Chenor ke rumah kakak Jamilah sekitar jam 6.30 pagi selepas anaknya menelefon bercerita apa yang terjadi dalam kejadian awal pagi  di kuarters itu.

Katanya adik kemalangan namun dia tidak menyebut  bahawa Yoi sebenarnya sudah tiada ketika itu. “Mungkin mereka tidak mahu kami semua trauma. Kakak kemudiannya pergi ke rumah mak dan memberitahu hal ini kepadanya. Adik beradik lain kemudiannya diberitahu tentang peristiwa ini dan kami semua bergegas ke Hospital Bentong.

“Agak lama juga di hospital malah kami tidak dibenarkan melihat mayatnya kerana bedah siasat perlu dilakukan bagi mencari punca kejadian.

Saya kemudiannya mengikut adik ipar ke Hospital Temerloh bagi membuat pemeriksaan rasmi dan adik ipar menceritakan kepada doktor bagaimana dia dirogol. Jauh di sudut hati agak sukar menerima cerita begini kerana memahami apa yang dirasainya,”ujarnya.

Sambung Hafizah, menurut cerita adik iparnya dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, kepalanya telah diajukan senapang patah. Penjenayah kemudiannya menjerit meminta senjata lagi.

“Mungkin kerana Yoi enggan menyerahkannya membuatkan penjenayah marah dan terus menghentam mukanya dengan senapang patah dipegang. Adik ipar juga alami kecederaan kerana cuba mempertahankan suaminya.

“Hanya dia yang tahu cerita sebenarnya dan kami tidak bertanya banyak kerana dikhuatiri akan melukakan hatinya lagi. Sementara saya menemani adik ipar di Hospital Temerloh, adik beradik lain menunggu di Hospital Bentong.

“Agak lama juga bedah siasat dilakukan di Hospital Bentong dan jenazah Yoi  hanya tiba di rumah ini lebih kurang jam 11 malam. Sekitar jam 12 tengah malam, jenazah dibawa ke tanah perkuburan di Kampung Tebal dan selamat dikebumikan malam itu juga.

Adik ipar turut mengikut sama hingga arwah suaminya selamat disemadikan,” katanya lagi sebelum meminta diri kerana mahu mengambil anak yang habis kelas tuisyen.

Kata-kata beri petanda

Dalam pada itu, ketika menemu ramah ibu arwah Siti Hajar@ Bedah, tangisannya tidak dapat dibendung lagi. Saat ditanya adakah dia tahu bahawa penjenayah sudah dibawa ke mahkamah dan direman, ibu tua ini hanya menggelengkan kepalanya.  

Ketika itu hatinya hanya dibelenggu rasa pilu mengingatkan pemergian anak yang disayangi. Lebih membuatkan dia sedih bila dia asyik teringat kata-kata Yoi sebelum ini yang memberi petanda bahawa dia akan pergi buat selamanya.

 “Yoi beritahu makcik yang dia tidak mahu buat rumah di tanah yang sudah menjadi miliknya.  Makcik tanya kenapa, katanya dia nak pergi dan tak perlukan rumah lagi. Ayatnya itulah yang membuatkan makcik menangis kerana tak menyangka, kata-katanya benar kerana Yoi pergi tak kembali lagi.

“Sebelum ini, dialah yang menjaga makcik dan pakcik, Jamaludin Mat Aris, 82 tahun. Setiap minggu pasti Yoi akan pulang ke rumah bersama isterinya. Dua hari di rumah makcik dan ada kalanya ke rumah isterinya di Chenor pula. Isnin pagi barulah Yoi terus ke tempat kerjanya.

“Kali terakhir makcik melihatnya pada 29 Oktober lalu. Masa itu dia peluk makcik erat-erat. Yoi kemudiannya naik motor manakala isterinya menaiki kereta. Makcik perhatikan langkah mereka hingga hilang dari pandangan.

“Minggu kejadian sepatutnya Yoi balik rumah ini seperti biasa tapi Sabtu 3November itu, Yoi mahu ke Bangi kerana saudara isterinya ada majlis kahwin. Tak sangka, kejadian itu menimpanya,” katanya yang terusan menangis.

Tambah Siti Hajar lagi, anaknya itu seorang anak yang baik malah dialah yang banyak menjaganya suami isteri.

“Sebenarnya Yoi baru setahun dua bulan kerja dengan Jabatan Hutan. Sebelum ini dia kerja kontrak di RadiCare di hospital di sini. Banyak juga kerja lain dilakukannya termasuk memasang pendingin hawa di sekolah.

“Jika dapat upah, dia akan beri makcik sikit tapi selalunya makcik akan tolak dan minta dia simpan. Bila saya tolak Yoi akan belikan barangan keperluan rumah seperti beras dan sebagainya. Malah bil air dan elektrik pun turut dibayar.  Bila jadi begini, hati makcik begitu sedih,” katanya yang masih menitiskan air mata.

Penulis dapat merasai kesedihan Siti Hajar yang kehilangan anak yang disayangi, tambah pula pada Yoi digalas harapan untuk menjaganya. Kini harapan tinggal harapan, Yoi sudah tiada dan pemergiannya dalam keadaan yang cukup tragis, mati dibunuh.  

Dalam pada itu, Hafizah  yang sudah selesai mengambil anaknya dari kelas tuisyen mengakui hubungan dengan adik ipar masih terus baik, malah 10 hari selepas kejadian dia turut menziarahi mereka sekeluarga di rumah.

Mengimbas kenangan manis tentang Yoi kata Hafizah lagi, adik itu yang mesra disapa Pak Itam di kalangan anak-anak buah begitu gemar memancing dan pergi ke serata tempat.

“Yoi seorang yang sangat peramah, suka menolong orang dan begitu ringan membantu. Mintalah tolong apa saja, dia akan lakukan. Sebab itulah kehilangannya cukup kami rasai,” katanya yang berharap agar hukuman setimpal diterima buat penjenayah kerana perbuatan yang sukar diterima akal fikiran.

 

 * Dipetik dari majalah Mingguan Wanita. Dapatkan edisi terbaru di pasaran