WANITA yang menghiasi ruangan Hobi pada kali ini ialah seorang individu yang sungguh peramah. Tidak sukar mendekatinya kerana personalitinya yang mudah didekati dan sering tersenyum. Gelaran Datin tidak membuatkan dia terasa gah walau sekelumit pun.

Datin Noorjehan Mohd Ariffin, 53, ialah isteri kepada Datuk Mohamad Nazir Meraslam, 53. Bergelar suri rumah tangga sepenuh masa di samping menyokong kerjaya suami, membuatkan Noorjehan mempunyai banyak masa untuk memenuhi aktiviti hobinya.

Arnab comel   

Hobi membela arnab bermula sejak tiga tahun lalu apabila anaknya menerima hadiah seekor arnab betina daripada rakannya. Justeru Noorjehan membelikan arnab jantan supaya arnab ini boleh membiak.

“Kini saya mempunyai lapan ekor arnab iaitu tujuh ekor jantan dan seekor betina. Arnab-arnab ini menjadi kesayangan keluarga dan saya suka memanjakan arnab peliharaan kami. Tak disangka dengan adanya hadiah arnab daripada rakan anak saya, kini membela arnab menjadi hobi kami sekeluarga,” ujar Noorjehan.

Antara nama arnab peliharaan Noorjehan ialah Apple, Snowy, Chubby, Loopy dan Obama. Nama Snowy diberikan kerana warnanya yang putih melepak manakala nama Obama diberikan kerana warnanya yang hitam. Nama Loopy pula kerana kedua-dua telinganya ke bawah. Menurut Noorjehan, arnab ini akan tahu apabila nama mereka dipanggil.

“Saya suka melihat arnab bermain di sekeliling halaman rumah. Setiap pagi ketika suami sedang mengaji di ruang bawah, arnab itu akan bertenggek di tepi tingkap seolah-olah memerhati suami mengaji. Kemudian, apabila suami ke ruang makan untuk bersarapan, arnab ini akan turut ikut ke tingkat ruang makan. Ketika ini saya akan berikan makanan untuk arnab-arnab ini,” kata Noorjehan mengenai arnab kesayangannya.

Noorjehan memberikan pallet dan biskut jenama Rusks untuk arnabnya. Pallet itu pula ada perisa iaitu strawberi dan epal. Arnab ini tidak diberikan kangkung kerana makanan itu boleh menyebabkan keadaan bersepah. Lobak merah pula diberikan sekali-sekala.

Rawatan dan kebersihan 

Pada waktu tertentu, Noorjehan akan membawa arnabnya ke pusat rawatan haiwan peliharaan untuk sesi rawatan dan kebersihan. Dia membawa arnab tersebut secara bergilir-gilir ke pusat tersebut demi memastikan arnab sentiasa sihat.

“Arnab juga boleh mengalami masalah kesihatan seperti sakit kulit, kutu ataupun masalah keguguran bulu. Pallet yang saya berikan kepada arnab ini mempunyai vitamin C yang boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan,” katanya lagi yang masih teringat akan arnab yang mati kerana terlanggar dek kereta anaknya di kawasan parkir rumah mereka suatu ketika dahulu.

Selepas membela arnab selama lebih tiga tahun, Noorjehan mengakui bahawa timbul rasa seronok apabila berdampingan dengan haiwan tersebut. Sifat arnab yang manja dan bulunya yang lembut memberikan perasaan kasih sayang antara ahli keluarga dan haiwan ini.

“Arnab tidak garang malahan sangat jinak. Saya suka kerana arnab tidak berbau. Arnab buang air besar di atas rumput. Najisnya tidak berbau malahan menjadi baja untuk rumput-rumput rumah ini,” katanya berseloroh.

Mempunyai lapan ekor arnab buat masa ini, Noorjehan tidak merancang mendapatkan lebih banyak arnab lagi. Sekiranya bertambah, Noorjehan bersedia memberikan arnab tersebut kepada orang lain.

“Paling utama saya ingin memastikan arnab ini sihat. Saya mengurung arnab dari pagi hingga petang dan melepaskannya pada jam enam petang. Pada waktu malam, arnab bebas bermain di sekitar rumah,” kata Noorjehan yang memperuntukkan antara RM500 hingga RM800 untuk perbelanjaan makanan dan rawatan arnabnya.

Noorjehan turut menasihatkan kepada sesiapa yang ingin membela arnab supaya tahu tabiat makan haiwan ini. Arnab makan secara kerap. Justeru kita perlu sentiasa ada stok makanan di rumah untuk diberikan kepada arnab.

“Jangan jadikan hobi membela arnab ini secara sementara. Kena kerap beri makan. Kena sayang haiwan ini kerana percayalah, jika kita sayang haiwan itu maka haiwan itu juga akan sayang pada kita,” katanya lagi.

Membaca

Selain membela arnab, Noorjehan turut mempunyai hobi membaca untuk menjana mindanya. Buku pilihannya ialah genre biografi ataupun novel berkisar kisah benar. Mengakui kurang menggemari buku genre fiksyen, Noorjehan turut membaca buku agama dan majalah yang membina minda.

“Sesekali saya turut membaca novel cinta kerana saya berjiwa romantik. Buku mengenai kisah hidup tokoh pula saya dapati boleh memberikan inspirasi serta motivasi untuk saya. Sebab itulah, pada waktu lapang saya suka membaca dan meneliti kisah hidup insan yang bergelar tokoh. Bagi saya, membaca buku sedemikian boleh membuatkan seseorang itu ingin lebih maju dalam hidupnya,” kata ibu kepada Mohd Faiz, 30, Rafiza, 26, Radiah, 24 dan Nadira, 20.

* Bahan sumbangan majalah MIDI