PAGI itu, Normah Mat Kasim, 37 bersiap sedia untuk ke tempat kerja. Semangatnya berkobar-kobar selepas bercuti panjang kerana berpantang. Dia menuntun basikal keluar dari kawasan rumahnya dan memulakan kayuhan perlahan-perlahan.

Namun, niat murninya terhenti setakat itu sahaja apabila dia terbabit dalam kemalangan. Kemalangan yang meragut segala kegembiraan dan harapan untuk melalui kehidupan normal.


Dirinya kini hidup dalam dunia sendiri. Ada ketika tersenyum, ada ketika meracau kemarahan akibat tekanan perasaan yang tidak diketahui puncanya. Mujurlah ada saudara yang berbesar hati menjaga setelah pemergian ibu tercinta. Sekalipun bukan adik-beradik sendiri, Latifah Mat Sujang, 42 tidak pernah mengeluh, jauh sekali menyesal di atas bebanan tanggungjawab yang ditanggung. Baginya, ini adalah ujian dan amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.


“Saya betul-betul simpati dengan keadaannya. Jika dahulu, dia cukup ceria dan peramah tetapi kini lihatlah. Sekejap-sekejap senyum, sekejap-sekejap marah. Mungkin susah baginya mengawal emosi selepas terlibat dalam kemalangan lebih tiga belas tahun lalu. Dia dilanggar kereta dari arah belakang hingga tercampak ke bahu jalan. Waktu itu, dia tinggal dengan emaknya di Banting.

“Selepas kejadian, dia mengalami kecacatan mental dan terlantar di katil sahaja. Tetapi sekarang, selepas lalui rawatan fisioterapi dan latihan senaman sedikit demi sedikit, Normah sudah mampu berdiri sekalipun tangan kanannya mengeras dan kaki kanannya masih lembik. Memang ada perkembangan yang baik sekalipun memakan masa yang lama. Jika dilihat, dia tidak mempunyai tempurung kepala selepas kemalangan dan baru-baru ini doktor ada tawarkan untuk gantikan tempurung kepala yang baru.

“Bagaimanapun, saya menolak sebab bimbangkan risiko yang lain. Rasanya, biarlah dia begini. Setidak-tidaknya dia sudah boleh makan dan minum sendiri, malah kalau mandi pun saya biar dia yang lakukan. Saya hanya melihat dari tepi sahaja agar tidak berlaku sebarang kejadian yang buruk. Saya ingin dia berdikari walaupun peratusan untuk kembali normal sepenuhnya memang tipis. Hanya Allah yang mampu beri keajaiban,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata ini ramah.

Nurhidayah rindukan belaian ibu

Penulis difahamkan, ketika Normah terlantar sakit, arwah ibu dan kakaknyalah yang menjaga. Namun selepas kedua-duanya kembali ke rahmatullah, Latifah mengambil alih tugas tersebut biarpun lain ibu dan ayah.

“Saya adalah kakak angkatnya. Walaupun bukan adik-beradik kandung, tetapi sedari dahulu hubungan kami memang rapat. Sebab itulah bila mak dan kakak meninggal, saya tawarkan diri untuk menjaganya.

Apa yang menyedihkan saya ialah anaknya, Nurhidayah Abdullah, 13, tidak berpeluang mendapat kasih sayang ibu yang sebenar. Dalam usia tiga bulan, dia sudah hilang tempat bermanja, sekalipun ibunya berada di hadapan mata. Sekarang dia dah besar panjang tetapi Normah masih tidak ‘selesa’ dengan kehadiran anaknya.

“Kadang-kadang Hidayah ditolak ke tepi apabila duduk di sebelahnya. Tetapi mungkin jugalah, Hidayah gemar menyakat sekaligus membuatkan Normah ‘marah’. Perhatian daripada ayah jauh sekali. Selepas kemalangan, suami Normah hilang tanpa berita.

Sedikit nafkah pun tidak diberikan, apatah lagi mengirim surat untuk bertanya khabar. Mungkin dah tersurat takdirnya begitu, tetapi apa yang saya lihat Normah memang seorang wanita yang kuat.

Dia sudah mampu mengesot dan bangun dengan bantuan tongkat serta kasut khas yang diberi oleh PERKESO. Malah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pun ada membantu. Syukurlah, masih ada yang sayang dan prihatin pada dirinya,” jelasnya yang bergelar suri rumah tangga sepenuh masa.

Kunjungan penulis ke rumahnya baru-baru ini juga disambut dengan kuntuman senyuman di bibir Normah. Nyata, dia cukup gembira menerima tetamu. Langsung tidak ‘meragam’ malah memberi kerjasama yang baik sewaktu lensa kamera terarah ke wajahnya. Dikatakan, ada ketikanya Normah akan bertindak agresif apabila emosinya tidak stabil tetapi mudah dikawal Latifah yang betah dengan karenahnya setelah tiga tahun menjaga.


“Normah suka ‘membaca’. Pantang nampak buku atau majalah, dia pasti minta untuk melihatnya. Dalam masa yang sama, dia juga gemar menonton televisyen malah sudah pandai bercakap hendak makan atau minum. Walaupun mental dan fizikalnya tidak sempurna, tetapi dia faham apa yang kita cakap. Ada masanya, kami akan bawa dia keluar jalan-jalan atau makan di restoran. Nampak sangat dia suka dan selesa diperlakukan begitu. Pulang sahaja ke rumah, dia mampu sebut beberapa patah perkataan baru.

“Jauh di sudut hati, saya sentiasa doakan agar Normah kembali sihat seperti dahulu. Walaupun harapan ini tipis tetapi kuasa Allah tiada siapa yang tahu. Setiap kali Aidilfitri persiapan untuk Normah pasti ada sekalipun tidak dapat keluar beraya. Siapa sangka, seorang yang normal suatu masa dahulu berubah serta merta menjadi seperti anak-anak. Anak-anak yang sentiasa perlukan belaian, perhatian dan kasih sayang. Insya-Allah, pasti ada hikmah besar yang tersembunyi di sebalik apa yang berlaku.” 

* Dipetik daripada majalah Mingguan Wanita