AUTA

TULAR satu rakaman suara lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Wak Man Ijok yang mengatakan ayahanda di kawasan Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sungau Besar sedang bersabar mengenai insiden tetak membabitkan rakan mereka.

Rakaman itu mendedahkan mangsa tetak yang juga seorang lelaki OKU itu adalah ayahanda kawasan dan mereka tidak akan berdiam diri berhubung insiden terbabit.

“Insya-ALLAH, kita orang tidak akan berdiam diri. Bagi kawasan Kuala Selangor tengah bermesyuarat untuk bergabung ‘group’ Lapan Penjuru, Pekida dan Double 7 untuk ‘repeat’ balik.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jangan sebarkan tular palsu]

“Kami tak terima langsung lebih-lebih ayahanda pula tu yang kena. Memang tak patut dan kita orang akan ambil tindakan tapi sekarang ni buat tak tahu saja sebab ‘line’ tengah panas.

“Dalam kita buat tak tahu, kita orang buat pemantauan. Diharap bersabar sebab sekarang tengah panas. Line dah sejuk nanti, kita jalan dalam senyap,” katanya dalam rakaman suara selama 2.33 minit.

Satu lagi rakaman suara wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Su juga mendedahkan keadaan tidak mungkin tenang lebih-lebih terhadap nasib suspek yang disoal siasat berkaitan insiden terbabit.

“Budak-budak berentam dan saling cabar mencabar. Sepatutnya ada genjatan senjata dan kena maklum kepada polis. Masing-masing tengah darah panas dan saling maki hamun.

“Masalah sekarang ini marah itu tak terkawal. Akak dah pantau sejak sambutan merdeka lagi, mereka tidak habisan kutuk dan mula dekat Penang lagi. Sepatutnya merdeka ni kita kena aman damai.

“Kita kena berjaga-jaga sebab dikelilingi musuh dalam selimut sebab isu ni berpanjangan. Kita jangan asyik terlalu lalai dengan politik dan berpecah. Islam sepatutnya bersatu,” katanya.

FAKTA

Sementara itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai rakaman video dan suara berkaitan 'kekecohan' membabitkan dua kaum yang tersebar luas dalam media sosial.

Rakaman video dan suara yang berdurasi 1.38 minit itu dipercayai tular selepas insiden seorang lelaki kurang upaya (OKU) ditetak di sebuah warung di Jeram, Kuala  Selangor 31 Ogos lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: OKU kena tetak sampai putus urat tangan]

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor turut memohon kerjasama orang ramai supaya tidak menularkan rakaman video dan suara terbabit demi menjaga keharmonian semua kaum.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor, Asisten Superintendan Ramli Bakar menjelaskan, sebaran berita panas terbabit adalah tidak sahih dan boleh mengugat ketenteraman awam.

"Rakaman video dan suara yang menokok tambah dari kejadian sebenar itu disifatkan hanya bertujuan untuk menimbulkan ketegangan antara kaum.

"Jika benar, sudah tentu jadi kecoh tetapi setakat ni tiada apa-apa. Pihak polis juga sudah membuat perjumpaan dengan pertubuhan tertentu supaya mereka tidak mengambil tindakan sendiri.

"Biarlah pihak polis jalankan siasatan dan ambil tindakan mengikut lunas undang-undang," katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai rakaman video terbabit yang kononnya berlaku di Ijok.

Tegasnya, pelbagai rakaman video yang ditularkan termasuk gambar orang bergelimpangan dengan kesan cedera yang teruk dipercayai disunting dari kes lama dan dicampuradukkan dengan insiden tetak lelaki OKU di Jeram.

"Jika betul berlaku, sudah tentu pada hari kejadian tu juga berlaku pertumpahan darah seperti insiden Kampung Medan dulu tetapi kejadian sudah lebih enam hari.

"Pihak polis juga sudah memberi penerangan dan penjelasan kepada media supaya tidak menularkan cerita dan gambar bukan-bukan yang boleh menggugat keharmonian kaum," katanya.