"SAYA letak jawatan bukan kerana tawaran lumayan daripada stesen radio lain!" tegas penyampai radio popular, Hot FM, Faizal Ismail, berhubung isu letak jawatan pada 24 Oktober lalu, menerusi laman sosial miliknya.

Menerusi sidang media semalam, di Restaurant Marche, The Curve, Faizal yang lebih mesra dengan panggilan FBI tampil merungkai spekulasi mengenai tindakannya itu.

"Tindakan ini dibuat bukan kerana saya lebih tertarik dengan tawaran stesen radio lain atau mempunyai masalah dengan Hot FM.

"Dalam masa terdekat ini, saya tidak akan terima sebarang tawaran bekerja dengan stesen radio lain. Jadi, spekulasi mengenai peletakan jawatan saya kerana ingin beralih angin adalah tidak benar.

"Saya berhenti kerana ingin urus perniagaan sendiri. Malah, perkara ini telah saya bincang bersama isteri yang juga penasihat saya sejak dua tahun lalu," katanya yang masih lagi bersama Hot FM sehingga 15 November ini.

Tambah Faizal, selepas tarikh itu, dia masih lagi bersama radio tersebut secara sambilan menerusi segmen khas.

"Saya masih lagi bersama Hot FM sehingga 15 November ini. Selepas itu, saya akan sambung secara 'part time' sahaja, mungkin di segmen hujung minggu, Sabtu atau Ahad.

"Pada 24 Oktober lalu,  notis peletakan jawatan itu, namun saya perlu mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh stesen radio.

"Setelah berbincang dengan pihak pengurusan, mereka menerima permohonan saya," katanya yang menggalas tugas sebagai penyampai radio berkenaan hampir tujuh tahun.

 Sukar urus masa

Baru sahaja menubuhkan syarikat miliknya, FBI Entertainment Sdn Bhd, sejak dua bulan lalu, akui Faizal, agak sukar untuk menguruskan pelbagai perkara dalam satu masa.

"Pada awalnya, saya cuba untuk bahagi masa sebaik mungkin untuk urus syarikat dan kerjaya. Namun, saya gagal beri komitmen yang baik untuk kedua-duanya.

"Jadi, saya perlu korbankan karier saya. Walaupun berat hati, saya terpaksa demi masa depan keluarga. Sejujurnya, saya memang sayangkan karier ini kerana saya bermula dari bawah dan melalui peringkat demi peringkat sehingga berjaya sampai ke tahap ini.

"Namun, sampai bila saya mahu berada di konti? Saya percaya, populariti kini tidak jamin (kekal populariti) untuk lima tahun yang akan datang. Saya tidak mahu terus terperangkap dalam kepompong ini sehingga sukar untuk pilih cabang lain," katanya yang menghargai setiap pengalaman yang diperoleh bersama radio itu.

Katanya, selama 15 tahun dalam bidang ini, dia berhasrat untuk melakukan perubahan dalam perjalanan kariernya.

"Saya tidak boleh sentiasa berada di zon selesa kerana sampai pada satu tahap, kita memerlukan pembaharuan.

"Saya perlu cuba bidang lain dan mencabar diri saya untuk urus perniagaan," katanya yang pernah memenangi Anugerah Penyampai Radio Lelaki Popular selama 6 tahun berturut-turut menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP).

Tambah Faizal, walaupun syarikatnya masih baru, tetapi ia menunjukkan perkembangan membanggakan.

"Alhamdulillah, ada dalam kalangan rakan saya bersedia untuk bekerja bersama dan mereka menunjukkan komitmen yang baik.

"Menerusi syarikat itu, kami akan terlibat dalam pengurusan majlis, produksi televisyen. Malah, saya juga berhasrat untuk kembangkannya sebagai platform untuk penghasilan drama," katanya yang masih lagi terlibat dengan program pengacaraan televisyen.


Tiada pengganti?

Menurut Pengarah Rangkaian Hot FM, Seelan Paul, mengakui peletakan jawatan Faizal adalah satu kehilangan besar buat radio itu.

Katanya, populariti Faizal sepanjang berada di radio itu banyak memberi keuntungan dan kepentingan kepada syarikat.

"Faizal adalah salah seorang penyampai radio yang memainkan peranan penting dalam peningkatan rating pendengar. Malah, ia adalah satu kehilangan besar buat kami.

"Mana tidaknya, sehingga kini, dia mempunyai kelompok peminat tersendiri termasuk 500,000 pengikut di laman sosial.

"Malah, sehingga kini, kami masih tidak jumpa pengganti yang layak untuk menggantikan Faizal. Mungkin kami akan ambil masa selama sebulan dua untuk mencarinya. Sepanjang ketiadaan Faizal, AG dan Fara Fauzana akan menggantikannya," katanya lagi.