BERSEMPENA Hari Sukan Malaysia yang berlangsung September ini, Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq berkata, sukan aksi lasak seperti permotoran Masters of Dirt semestinya membuka peluang baharu untuk anak muda terokai sukan tersebut.
 
Jelasnya lagi, sukan seumpama itu sekali gus memberikan ruang kepada golongan belia khususnya 'mat motor'.
 
"Saya rasa cukup berbesar hati kerana berpeluang untuk melancarkan program seumpama ini yang mana ia merupakan kali pertama di Malaysia diadakan.
 
"Tambahan pula sukan ini akan berlangsung seiring dengan Hari Sukan Malaysia 2018.
 
"Justeru itu, secara tidak langsung ia dapat menarik perhatian khalayak umum untuk menyaksikan acara ini nanti. Malah ia akan menjadikan sukan ini berkembang di Malaysia.
 
 
"Dengan adanya sukan seperti ini juga, anak-anak muda mahupun golongan belia terutamanya 'mat motor' akan berpeluang untuk menerokai sukan seumpama ini," ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran Masters of Dirt Malaysia.
 
The Masters of Dirt All In Tour 2018”, yang merupakan pertunjukan aksi gaya bebas dan liar penunggang motosikal motocross, akan membuat penampilan buat julung kalinya di Malaysia bertempat di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini, bulan hadapan. 
 
Ia akan berlangsung dari 13 hingga 14 Oktober ini bersempena sambutan Hari Sukan Negara.
 
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata acara ini dijangka bakal menarik ramai pengunjung terutamanya peminat setia sukan itu dan golongan muda. 
 
Pertunjukan itu antaranya disertai penunggang FMX antarabangsa yang terbanyak selain daripada pelumba terkemuka BMX, MTB, QUAD dan kereta salji, di dunia.