ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana ALLAH...” al-Baqarah (2): 196

Antara hadis yang menggalakkan kita untuk menunaikan haji ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Rasulullah pernah berkhutbah di hadapan kami dengan berkata: Wahai sekalian manusia, Sesungguhnya ALLAH telah mewajibkan ke atas kamu mengerjakan haji, maka tunaikanlah haji.” (Sahih Muslim, hadis no. 131)

Ayat al-Quran serta hadis di atas merupakan galakan menunaikan haji atau umrah dalam bentuk umum. Ia bermaksud galakan tersebut diberikan kepada semua golongan sama ada tua atau muda. Tetapi adalah lebih baik dan lebih elok sekiranya mempunyai peluang dan masa di usia muda untuk melaksanakan ibadah haji atau umrah. Ini kerana manfaatnya lebih besar dan lebih banyak yang akan kita peroleh.

Haji dan umrah adalah satu-satunya ibadah yang perlu dilakukan di luar kawasan kediaman kita. Tempatnya adalah di Baitullah yang terletak di Makkah al-Mukarramah. Manakala ibadah lain pula boleh dilakukan di tempat kita seperti solat, berpuasa, mengeluarkan zakat, bersedekah, melakukan korban mahupun aqiqah dan sebagainya.

Menjadi kebiasaan kepada kita melihat golongan yang menunaikan haji dan umrah ini adalah daripada kalangan orang yang telah berusia, rambut pula telah beruban serta kulit pula telah berkedut. Hal ini berlaku mungkin disebabkan kos untuk ke sana khususnya dari Malaysia agak tinggi. Oleh yang demikian tidak ramailah yang dapat menunaikan ibadah khususnya dalam kalangan orang muda. Tetapi sekiranya golongan muda yang ada pada hari ini, mempunyai kemudahan serta keupayaan dari sudut kewangan maka amat baik untuk menunaikannya.

Belum bersedia dan masih muda?

Hidayah merupakan milik ALLAH. ALLAH akan memberikan hidayah bagi mereka yang berusaha untuk mencarinya. Lebih-lebih lagi pada saat kita ingin berubah menjadi orang yang lebih baik.

Jika kita berusaha untuk mencari hidayah tersebut maka ALLAH akan bantu kita dalam mendapatkannya. Manusia juga bukan sempurna. Pastinya banyak kelemahan yang ada. Bukan bererti setelah kita ke sana, pulang nanti kita tidak akan melakukan kesalahan. Kita juga akan melakukan kesalahan sama ada kita sedar ataupun tidak. Tetapi sekurang-kurangnya kita akan menjadi orang yang lebih baik daripada semua sudut.

Lalu secara tidak langsung kita dapat mengurangkan perkara-perkara negatif yang kita lakukan sebelum ini. Ini kerana hijrah yang paling susah ialah meninggalkan hawa nafsu untuk menuju keimanan. Maka sebelum kita ke sana seeloknya ikhlaskanlah niat untuk melaksanakan ibadah dan bukan untuk menunjuk-nunjuk. Mulakanlah dahulu dengan ibadah yang ringan seperti melazimkan zikrullah, solat sunat duha dan seumpamanya.

Kelebihan menunaikan haji dan umrah pada usia muda.

  1. Dapat merasai kenikmatan dan kelebihan beribadah di tanah Haram. Tanah ini di mana tempat para nabi dan para sahabat sebelum daripada kita juga menunaikan solat, umrah dan haji. Pengalaman melihat Kaabah sebagai Baitullah secara langsung ini merupakan kelebihan yang diberikan ALLAH kepada mereka yang menjadi tetamunya di Mekah. Bahkan jika pergi dalam usia yang muda, kita akan lebih bersemangat dan mempunyai kekuatan yang tinggi dalam melaksanakan ibadah kepada ALLAH.
  2. Dapat menyempurnakan rukun Islam yang kelima tanpa ada gangguan. Gangguan yang dimaksudkan adalah masalah kesihatan atau ketidakupayaan yang boleh mengurangkan kualiti ibadah kita. Hal ini bukan bermaksud orang yang lebih berusia tidak berkualiti ibadahnya. Tetapi apabila orang muda yang melakukan tawaf atau sai umpamanya ia boleh dilakukan dengan lebih cepat dan bertenaga disebabkan kekuatan diri berada pada tahap yang maksimum.
  3.  Setelah kita merasai manisnya beribadah di sana, maka momentum inilah yang akan kita bawa ke tanah air agar kita akan lebih istiqamah dan berterusan dalam melaksanakan ibadah serta mentaati segala perintah ALLAH SWT.

Faktor  pendorong untuk bersegera menunaikan haji atau umrah

Memberi penekanan kepada golongan muda bahawa haji merupakan rukun Islam yang kelima. Maka jika seorang itu berkemampuan untuk menunaikannya tetapi masih bertangguh dan berat hati untuk ke sana, dikhuatiri ALLAH SWT tidak akan menjemput kita untuk menjadi tetamu-Nya di masa yang akan datang. Berbeza pula jika berkemampuan tetapi mempunyai halangan lain yang lebih utama seperti kesihatan tidak mengizinkan, ada ibu bapa uzur yang perlu dijaga, anak kecil yang sukar untuk ditinggalkan atau lain-lain.

Memberi pemahaman kepada golongan muda tentang hakikat perlaksanaan ibadah haji. Sebaiknya tanyalah rakan-rakan yang seusia kita yang telah menunaikannya. Bagaimana perasaan mereka ketika berada di sana, tempat-tempat sejarah yang telah dilawati mereka, cuaca dan suasana yang mereka rasai. Setelah itu barulah ada minat untuk kita bercita-cita ke sana. Insya-Allah jika kita ingin melakukan kebaikan, maka ALLAH akan memudahkan jalan untuk kita melakukan kebaikan tersebut. Akan tetapi jika dari awal lagi memang kita kurang berminat atau tidak mahu ke sana pasti

Kekalkan istiqamah setelah kembali dari Tanah Suci

Sebagai seorang Islam, setiap masa kita perlu ingat yang ALLAH SWT sedang memerhatikan kita. Walau di mana kita berada sama ada kebaikan atau keburukan yang kita lakukan pastinya tidak ada satu pun yang akan terlepas daripada pandangan ALLAH SWT. Lantas apabila pulang dari sana, kita hendaklah melazimi ibadah sebagaimana kita telah melakukannya di sana.

Salah satu tanda haji atau umrah kita diterima oleh ALLAH SWT adalah sewaktu kita pulang ke tanah air, akhlak dan perilaku kita menjadi lebih baik, pertuturan lebih sopan dan teratur serta disenangi oleh orang lain. Ini kerana ibadah yang telah kita laksanakan di sana sungguh-sungguh kerana ALLAH dan memberi kesan dalam hati kita.

Sebaliknya jika sama sahaja bahkan lebih teruk setelah kembali dari sana maka sia-sialah duit yang telah kita habiskan. Sewajarnya kita hendaklah memperbanyakkan berdoa pada ALLAH SWT, memohon kepada-Nya dalam setiap apa juga yang kita lakukan, lebih-lebih lagi dalam ibadah supaya kita menjadi orang yang baik.

 Nasihat dan pandangan

Umrah atau haji ini merupakan ibadah yang tidak semua orang mampu dan berpeluang untuk melaksanakannya. Muda atau tua bukanlah menjadi persoalannya. Ada sesetengah manusia yang mampu daripada segi kewangan tetapi ALLAH tidak menjemput mereka menjadi tetamu-Nya. Ada juga di sana golongan yang kurang berkemampuan dari sudut kewangan tetapi ALLAH memberikan rezeki untuk menjadi tetamu-Nya.

Itulah hebatnya ALLAH. Jika berpeluang untuk ke sana, lebih-lebih lagi sewaktu usia muda ini maka lakukanlah yang terbaik amal ibadah kita, ikhlaskan niat kerana ALLAH kerana pada saat itulah kita akan merasai kemanisan dalam beribadah. Saranan saya, umrah dan haji ini sebenarnya banyak mengajar kita erti dan hakikat sebenar seorang hamba. Bagaimana kita sanggup bersesak-sesak dan bersusah payah sewaktu melaksanakannya tetapi tetap juga kita lakukan semata-mata kerana ALLAH. Ayuh tanamkanlah semangat dan cita-cita kita untuk ke sana. Moga-moga ALLAH permudahkan jalan untuk kita menjadi tetamu-Nya nanti, insya-Allah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :