MEMPERKASAKAN peranan dan kuasa ketua keluarga.

Ketua keluarga yang dipanggil ayah, abah, abi, daddy, papa, baba atau appa merupakan sosok lelaki penting dalam membina keluarga, seterusnya membimbing ke syurga.

Ayah bukan sekadar mencari nafkah, tetapi tugas dan tanggungjawab ayah amat penting dalam melindungi keluarga daripada azab api neraka. Ini sebagaimana disebut dalam ayat al-Quran:

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala)…” (Surah Al-Tahrim: 6)

  Tanggal 8 Julai ini, Keramat #QuranHour 5.0 akan memfokuskan kempen #AyahkuHeroku di bawah My Family #QuranHour dan #savingfamilies di Taman Tasik Datuk Keramat, Kuala Lumpur, jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Program tersebut dianjurkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Rumah Ngaji dengan kerjasama Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).      

Ketua Pegawai Eksekutif (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, semenjak program Keramat Lab dilancarkan pada 2 Disember 2017, Keramat #QuranHour 5.0 kali ini memberi fokus kepada peranan ayah sebagai pemimpin keluarga ke syurga.

“Baru-baru ini, kami melawat ke Pusat Koreksional, Puncak Alam dan mendapati kebanyakan penghuni kalangan anak remaja datang daripada keluarga yang bermasalah. Dari situ, pihak WUIF bersemangat memberi inspirasi kepada golongan ayah untuk melakukan sesuatu kepada pendidikan anak.”

Menurut kajian pakar psikologi Ronald Rohner, dari University of Connecticut, mendapati peranan ayah lebih berpengaruh dalam pembangunan anak berbanding ibu. Anak yang mempunyai masalah tingkah laku, kenakalan dan kemurungan dikaitkan dengan penolakan ayah.

“Kasih ayah memberi pengaruh kuat kepada pembentukan jati diri anak. Apabila anak berasa dirinya disayangi oleh ayahnya, dia akan menjadi orang dewasa yang hidup bahagia dan sejahtera. Ini menunjukkan anak lebih memerhatikan ayah sebagai ikutan.”  

Marhaini menambah, peranan ayah sangat signifikan dalam perkembangan anak pada masa hadapan. Beliau juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk turut sama menjayakan kempen #AyahkuHeroKu berterusan.

Jika golongan ayah mula cakna atau hadir dalam kehidupan anak dalam memberi impak positif, maka, tiada lagi penglabelan “ayah bisu”, “ayah ATM” atau “ayah gagal”.

“Dengan memperkasakan peranan ayah melalui kempen #AyahkuHeroku, diharapkan mencapai 3,000 family champion yang berinteraksi dengan al-Quran,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir ke program Keramat #QuranHour 5.0 pada Ahad ini untuk menjayakan kempen tersebut. Seramai 500 orang terawal akan menerima naskhah al-Quran. Pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk Bual Bicara & Perkongsian #AyahkuHeroku daripada Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Duta #QuranHour, Norman Hakim; QSI Explorace Pasar Infaq Ummah; Tadabbur Surah Luqman; dan aneka juadah konsep potluck.

Doakan ibu bapa

Ketua Pegawai Penyelidik dan Modul, Fazrul Ismail berkata, doa untuk ibu bapa amat berkuasa dalam menutup kelemahan anak. Mungkin kita pernah melukakan hati ibu bapa seperti bercakap kasar, tidak mendengar kata, melakukan sesuatu yang tidak disukai mereka.

Anak perlu sentiasa mendoakan ibu bapa yang membesarkan kita dengan memohon kepada ALLAH untuk melindungi dan merahmati mereka.

“Semakin banyak seseorang ayah itu mendidik anaknya, semakin banyak rahmat yang diperoleh.

“Jika anak tidak bersifat rahmat terhadap ibu bapanya, suatu hari dia mungkin menerima perkara yang daripada zuriatnya.

“Jika anak kita buat perangai, fikir semula sikap kita suatu masa dahulu. Oleh itu, kita perlu banyak bersyukur kepada ALLAH, meminta ampun dan berbuat baik dengan ibu bapa untuk mengelakkan anak dan keturunan kita berperangai negatif.

“Walaupun ibu bapa ada kekurangan sehingga susah melihat kebaikan, kita tetap bersyukur dan menghargai mereka walaupun sedikit, kerana ALLAH tetap Maha Kaya dan Maha Terpuji, sebagaimana disebut dalam Surah Luqman ayat 12. Jika banyak bersyukur, kita akan mendapat banyak kelebihan,” katanya.  

Beliau memberitahu, kempen #AyahkuHeroku mengajak kita untuk menghargai bapa. Perbanyakan doa agar ibu bapa yang hidup mahupun meninggal dunia sentiasa dalam rahmat ALLAH. Apa sahaja sejarah bersama kedua orang tua kita, biarlah ia membawa ke syurga.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :