• Kilauan Emas 3 Ros dan Rina gagal mara ke peringkat akhir Kilauan Emas 3. - Foto ihsan FB Astro Gempak
  • Finalis Kilauan Emas 3 Finalis Kilauan Emas 3, (dari kiri) Mior, Silah, Idris dan Alina. - Foto ihsan FB Astro Gempak
1 /

KELETAH peserta Kilauan Emas Musim Ketiga, Ros yang sebelum ini mencuri tumpuan nyata gagal memancing undi apabila peserta dari Pontian, Johor ini gagal menempah tiket ke final, malam tadi.

Selain Ros, peserta dari Kedah, Rina juga menerima nasib sama.

Empat peserta lain, Idris, Silah, Mior dan Alina meneruskan langkah ke pentas akhir, minggu depan.

Mior mendahului dengan memperoleh 21 peratus (%) iaitu hasil 70% markah juri profesional dan 30% daripada undian SMS.

Sementara, Idris di tempat kedua dengan 18%, diikuti Silah 17% dan Alina 16%.

Manakala, peserta tersingkir, Rina mendapat 15% dan Ros 12%.

Mior membuka pentas separuh akhir Kilauan Emas malam tadi dengan menyampaikan lagu Hilang Naluri yang dipopularkan oleh Once.

Menurut juri tetap, Datuk Ramli MS, Mior seorang penyanyi yang mempunyai karakter dan cara sendiri.

"Mior ada cara sendiri...ada karakter. Apabila ada karakter, saya kena lihat kebijaksanaan dia mewarnai persembahan," katanya ketika ditemui selepas konsert tamat.

Ketika diminta mengulas mengenai Ros yang dilihat sering menjadi penyeri kepada setiap konsert, Ramli MS akui Ros mempunyai personaliti yang bagus.

"Kak Ros ada personaliti yang bagus...TV suka," katanya.

Sementara Ziana Zain yang juga bertindak sebagai juri turut mengakui perkara tersebut.

"Kak Ros kita anggap dia sebagai penyeri. Dia memang kelakar, kalau tak ada dia, mesti sunyi," katanya.

Ziana sempat memuji tahap keyakinan Silah, Idris dan Mior yang konsisten setiap minggu.

"Saya puji Silah, Idris dan Mior. Tahap keyakinan mereka tak lari...konsisten.

"Untuk Alina pula, dia tidak konsisten tapi malam ini dia buktikan dia boleh buat," katanya.

Minggu depan, empat finalis bakal diiringi orkestra yang dikendalikan Ramli MS yang bertindak sebagai pengarah muzik pada masa sama sebagai juri yang mengadili mereka.

Mereka bakal menyanyikan sebuah lagu hit, 'cover song' dan lagu baru.