ALOR SETAR - Seorang warga emas ditemui maut dipercayai akibat sesak nafas selepas mulutnya diikat dengan tuala oleh perompak yang masuk ke rumahnya di Taman Malaysia,di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang itu, mangsa, Kau Fu Eng, 71, ditemui anak perempuan kedua dan cucunya di sebuah bilik di rumahnya dalam keadaaan leher dan mulutnya dijerut tuala.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dengan kesan jerutan tuala di sebuah bilik di rumah itu.

"Selepas itu, anak perempuannya menghubungi hospital dan cuba melakukan CPR demi menyelamatkan mangsa, bagaimanapun tidak berjaya sebelum menefon polis.

"Melalui pemeriksaan awal, kita mendapati perompak dipercayai masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang kediaman itu yang terbuka. Malah, tiada sebarang umpilan ditemui.

"Siasatan mendapati, beberapa barang berharga termasuk barang kemas bernilai RM10,000 dan tablet hilang dipercayai dibawa lari," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.