BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita berusia 59 tahun berdepan hukuman mati selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Bukit Mertajam di sini, atas kesalahan menyebabkan kematian pembantu rumahnya.

Tertuduh, M Ambika didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Februari lalu di sebuah rumah di Medan Kota Permai 2, di sini, kira-kira jam 4 petang.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian Adelina Lisao, 26 yang berasal dari Nusa Tenggara, Indonesia.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh hanya menunduk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Anas Mahadzir.

Sementara itu dalam kamar mahkamah sama, anak perempuannya, R Jayavarthiny, 32, didakwa mengambil Adelina bekerja walaupun mengetahui mangsa tidak memiliki pas yang sah.

Jayavarthiny didakwa mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Muhamad Anas membenarkan Jayavarthiny diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes.

Jayavarthiny yang bekerja sebagai jurujual diwakili peguam Muhaimin Hashim, manakala ibunya tidak diwakili peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamzah Azhan.

Sementara itu, anak lelaki Ambika dibebaskan di bawah Bon 118 Kanun Prosedur Jenayah.

Lelaki berumur 39 tahun itu dibebaskan bagi membolehkan dia menjadi saksi pihak pendakwaan.