SINTOK - Kumpulan Aspirasi Mahasiswa memenangi 34 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi pemilihan perwakilan pelajar bagi sesi 2012/13, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar 2012/13, Prof Madya Muhd Amy Azhar Mohd Hanif berkata, daripada 36 kerusi itu, lapan adalah kerusi Umum manakala 28 lagi adalah kerusi fakulti yang kebanyakkannya dinobatkan sebagai menang tanpa bertanding.

Menurutnya, proses pengundian ditutup pada jam 1.30 petang dengan 85.2 peratus telah keluar mengundi yang mana jumlah pelajarnya seramai 31,000 orang dan tiada sebarang kekecohan berlaku sepanjang tempoh itu.

“Pengundian yang bermula jam 9.00 pagi itu melibatkan 14 calon yang bertanding untuk kerusi umum manakala sembilan calon lagi bertanding bagi kerusi fakulti untuk tiga pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Kerajaan, Pusat Pengajian Antarabangsa dan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan.

“Mewakili ketiga-tiga pusat pengajian tersebut hanya dua orang layak daripada setiap pusat pengajian yang bertanding kerana meraih undian terbanyak secara online menerusi sistem E-Voting," katanya dalam ucapan selepas pengiraan undi dijalankan.

Katanya, untuk pilihan raya kampus kali ini, pihaknya  secara keseluruhan menggalakkan mahasiswa antatabangsa dan post graduate untuk turut serta dalam pemilihan calon.

Antara lapan calon yang memenangi pilihanraya kali ini adalah Iqtiyani Mohd Bashir (10,891 undi), Azri Norfikri Aziz (10,884), Marlina Sohaina (10,825), Ku Amirul Faiz Ku Seman (10,725), Muhammad Hariz Ahmad (10,241), Razali Bahar (10,134), Nurul Hidayah Afrizal (9,503) dan Mohd Zuraimy Yaakob (9,400).

Lapan calon lagi yang menang di peringkat Pusat Pengajian Kerajaan ialah Shafie Hassan (881) dan Evelyn anak Mabong (688), mewakili Pusat Pengajian Antarabangsa adalah Azyan Fairuz Abdul Mutalib (779) dan Yong Cheng (685) manakala Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan pula ialah Soo Yong Tian (2,447) dan Barry Anak Rabong (1,882).

Majlis pengumuman keputusan pilihanraya kampus bagi kerusi umum disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.