SUNGAI PETANI – Peserta Program Cabaran Gigih yang mampu menggerakkan industri perniagaan menerusi idea kreatif akan diberi ganjaran kerana kesungguhan mereka.

Eksekutif Komunikasi Program Cabaran Gigih, Mohd Farreez Rahmat berkata, mereka yang terdiri daripada golongan usahawan boleh berkongsi kejayaan masing-masing dan akan diberi penghargaan oleh Agensi Inovasi Malaysia.

Menurutnya, setiap warganegara berumur 18 tahun dan memperoleh pendapatan lebih RM1,000 daripada aktiviti perniagaan boleh melayari www.gigih.my atau bertemu kru Gigih yang menjalankan ‘roadshow’ di beberapa buah negeri untuk menyertai program itu.

Seorang peserta, Fatin Nasuha Abd Nasir, 21, yang mengikuti kursus kulinari berkata, program itu membuka peluangnya untuk menceburi bidang usahawan dan membolehkan dia menyertai cabaran berkenaan.

“Saya juga kini sedang menjalankan aktiviti mencetak secara kecil-kecilan dan diharapkan dengan adanya peluang ini, saya turut tersenarai dalam Cabaran Gigih seterusnya berjaya menempatkan nama seperti usahawan lain,” katanya.

Bagi Lee Hsueh Yi, 19, peluang yang diberi mampu meningkatkan keyakinan usahawan di samping sebagai pencetus kepada idea baru yang boleh diketengahkan.

“Program ini memang bagus kerana memberi peluang kepada individu yang baru berjinak dalam bidang usahawan mengetengahkan bakat mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Sungai Petani, Ishak Hamid berkata, program itu diharap mendapat sambutan menggalakkan kerana membantu meningkatkan ekonomi.