$entry.content.caption.value
SUNGAI KOB - Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan kecewa dengan pertelingkahan yang berlaku di Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) melibatkan peserta dalam demonstrasi jirat Cina (Memorial Park) beberapa hari lalu sehingga laporan polis dibuat.
Gobalkrishnan berkata, permasalahan seperti ini seharusnya diajukan kepadanya dan diperbincangkan secara tertutup.
Menurutnya, untuk mengatasi masalah itu, beliau akan memanggil penganjur demonstrasi dan pihak pengusaha jirat Cina untuk mendapatkan satu keputusan yang akan menyenangkan kedua-dua belah pihak.
“Saya hairan bagaimana masalah seperti ini boleh ditimbulkan. Saya akan memanggil mereka terlibat untuk ke pejabat saya untuk berbincang. Selain itu saya akan membuat perancangan dan berbincang dengan jabatan terlibat serta kerajaan Kedah sekiranya tanah yang bakal didirikan jirat Cina itu di pindahkan ke tempat lain.
“Ini kerana penduduk Melayu kurang senangkan apabila jirat Cina itu hendak didirikan di tengah-tengah kampung mereka. Kita harus baca sensitiviti penduduk terutama ia melibatkan semua bangsa,” katanya.
Menurutnya, sekiranya kerajaan Kedah berjaya menempatkan satu tapak baru untuk dijadikan jirat Cina, permasalahan ini dapat diselesaikan.
Bagaimanapun satu perjumpaan akan diadakan dalam masa terdekat untuk menyelesaikan permasalahan dihadapi oleh penduduk kampung terlibat.





