Umno yakin tawan Sungai Pinang, Datok Keramat
Abdul Razak (kanan) yakin jentera parti 1Malaysia mampu menawan dua Kadun di Parlimen Jelutong.

JELUTONG - Ketua Umno Bahagian Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman yakin dua kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) akan menjadi milik BN kembali.

Kawasan Dun Sungai Pinang dan Datok Keramat yang kini dipegang wakil rakyat DAP diyakini dapat ditawan oleh BN.

Abdul Razak berkata, dia menggesa penduduk Melayu di kawasan Jelutong berfikir semasaknya sebelum mengundi.

Menurutnya, sepanjang pentadbiran PR di Jelutong tiada satu perubahan besar dibuat melainkan hanya membuat penduduk kampung marah.

“Ketika pemerintahan BN di sini tidak ada isu menghalau penduduk dan sebagainya sehingga menimbulkan kekecohan sama seperti sekarang.

“Misalnya, jika hendak keluarkan penduduk, kami akan berbincang dengan baik dan memberikan ganti rugi yang sepatutnya,” katanya.

Tiada banyak perubahan

Abdul Razak berkata, masih banyak perubahan tidak dilakukan oleh Kerajaan Negeri di Jelutong khasnya kepada penduduk kampung terhadap kemudahan infrastruktur.

Menurutnya dalam masa yang sama jentera pihaknyanya sudah pun bersiap sedia 100 peratus, malah kali ini menjangkakan jentera pilihan raya di Parlimen Jelutong lebih agresif dan juga teguh kerana bergabung dengan semua parti komponennya, berbeza dengan tahun 2008.

“Pada masa itu koordinasi kami tidak sama, tetapi kali ini kami yakin dengan gabungan kesemua jentera parti dapat kembali merampas dua Kadun sekurang-kurangnya.

“Selaras dengan slogan 1Malaysia, jentera kami juga menggabungkan semua parti. Kami tidak mahu lagi disogokkan dengan perbezaan siapa yang lebih atau tidak, yang penting ialah satu hati antara satu sama lain,” katanya.

Memaklumkan sudah melancarkan jentera pilihan raya bagi Umno Bahagian Jelutong, Abdul Razak yakin pentadbiran BN di negeri ini mampu menaikkan tahap infrastruktur di kesemua bahagian.

“Jika ditakdirkan BN kembali memenangi negeri ini, saya yakin satu ‘master plan’ mengenai infrastruktur jalan raya khasnya akan dirangka di kawasan Jelutong.

“Apa pun ia terserah kepada tangan pengundi untuk menentukan dengan sebaiknya pembangunan yang seimbang di negeri ini,” katanya.