KUALA NERANG- Hasrat seorang penoreh untuk menikmati makan malam terbantut selepas terserempak ular tedung selar yang menjalar di alang bumbung ruang dapur rumahnya di Kampung Musa, Pedu di sini semalam.

Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Padang Terap, Koperal Mohd Rizal Ali berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.54 malam dari pemilik rumah.

Katanya, penoreh itu tergamam apabila melihat reptilia sepanjang 4.5 meter menyusut keluar dari ruang dapur dan terus menghubungi APM untuk mendapatkan pertolongan.

“Pada mulanya penoreh itu berhasrat untuk menangkapnya tetapi bimbang dengan keselamatannya kerana ular itu sangat besar.

“Penoreh itu terpaksa menunggu di ruang dapur rumahnya hinggalah APM datang bagi memberi bantuan,” katanya.

Menurut Mohd Rizal, pihaknya terpaksa mengambil masa 30 minit untuk menangkap ular itu kerana kedudukannya yang tersembunyi di celah bumbung.

Pihaknya terpaksa berhati-hati kerana ular tedung itu bertindak sangat agresif hingga cuba mematuk anggotanya. Bagaimanapun dengan kemahiran yang dimiliki oleh anggotanya ular itu berjaya ditangkap dengan menggunakan penjerut.

Mohd Rizal berkata, kehadiran ular tedung selar itu berkait rapat dengan seekor biawak yang ditemui penoreh itu ketika siang harinya.

“Biawak itu cuba bersembunyi ke dalam rumah itu hinggalah disedari oleh penoreh getah itu. Saya pasti semasa biawak itu ditangkap, ular tedung itu sudah pun berada di dalam rumah penoreh getah itu. Bagaimanapun penoreh getah itu bernasib baik kerana ternampak reptilia itu berada di atas alang dapur rumahnya,” katanya.

Mohd Rizal menasihatkan orang ramai jika biawak memasuki rumah mereka perlu berhati-hati kerana sudah pasti ular akan turut memasuki rumah mereka kerana mengejar mangsanya itu.

“Sepanjang 11 hari pada bulan ini APM Padang Terap menerima 37 kes tangkapan ular dari pelbagai jenis. Sehingga kini sebanyak enam kes adalah tedung selar dan lapan kes ular tedung yang berjaya ditangkap,” katanya.