ALOR SETAR - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam keadaan sihat selepas dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), 15 Februari lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keadaan kesihatan bapanya semakin sihat, namun ahli keluarganya tidak membenarkan beliau kembali bekerja.

"Tun M dah sihat tetapi biasalah ikutkan hati dia (Tun M) selepas sihat terus nak pi kerja tetapi kita (keluarga) tidak benarkan lagi.

"Kita minta Tun M berehat di rumah, dia (Tun M) kini masih berada di Kuala Lumpur selepas keluar IJN," katanya.

Mukhriz berkata demikian ketika ditanya media selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina Pakatan Harapan Kedah di Wisma Harapan, Stargate, hari ini.

Majlis Rumah Terbuka Tun M Bersama Rakyat Kedah, hari ini, diwakilkan oleh Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Mohamad Sabu.

Pada 9 Februari lalu, Tun Mahathir, 92, dimasukkan ke IJN kerana jangkitan kuman di dada selepas mengalami batuk.