BUKIT KAYU HITAM - Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD)  berjaya menangkap tujuh Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di kawasan Sungai Laka berhampiran dengan Pos 5, di sini, pagi tadi.

Panglima 6 Briged, Brig. Jen. Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 35 tahun itu ditahan sepasukan anggota 6RAMD pada jam 7 pagi ketika membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Katanya, serbuan dilakukan setelah anggotanya melihat pergerakan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan di kawasan semak berdekatan.

"Pemeriksaan lanjut terhadap kumpulan berkenaan mendapati kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan cuba memasuki negara ini secara haram," katanya, dalam suatu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kesemua Pati telah dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tenteta (PPAT) 5 RS bagi pemeriksaan kesihatan dan diserahkan ke Balai polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya.