ALOR SETAR - Tuduhan undi Pas memberi kemenangan kepada BN adalah persepsi salah dan tidak masuk akal kerana Pas bukannya parti komponen BN, sebaliknya realiti adalah undi Pakatan Harapan memberi undi kepada DAP susulan parti itu lebih dominan di Parlimen.

Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tuduhan dilemparkan terhadap Pas oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad itu konon dengan mengundi Pas bererti memberi undi kepada BN untuk kekalkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, dibuat berdasarkan persepsi.

“Politik kami bukan politik persepsi, Pas bertunjangkan politik realiti. Realiti yang kita lihat adalah DAP parti yang dominan dalam Pakatan Harapan kerana miliki kerusi paling banyak di Parlimen, sudah tentu parti yang dominan akan miliki peranan menarik parti lain yang masih baharu, seperti Amanah dan Bersatu,” katanya pada sidang media sempena Himpunan Jentera Pemuda Pas Kedah, semalam.

Menurutnya, selaku komponen utama dalam Pakatan Harapan, DAP dilihat akan mempengaruhi rakan komponennya, walaupun dibarisi tokoh seperti Mahathir.

“Gelombang dicetuskan Mahathir tidak sama seperti dilakukan Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu yang mampu cetuskan kebangkitan rakyat, manakala Amanah sebelum ini tidak pernah bertanding dan terpaksa minta kerusi dari PKR atau DAP,” katanya.

Tegasnya, keadaan itu mendedahkan hakikat bahawa undi kepada parti dalam Pakatan Harapan bermakna memberi undi kepada DAP, yang sebenarnya berselindung di sebalik wajah hipokrit dengan mempengaruhi Amanah, Bersatu dan PKR untuk dicengkam sebagai proksi dalam melaksanakan pelbagai misinya.

Muhammad Khalil turut menyangkal tuduhan Pas kini menggunakan isu perkauman untuk menarik undi Melayu dan bersikap tidak ubah seperti Umno berikutan cubaannya menakutkan Melayu terhadap DAP.

“Pas tak pernah bangkitkan isu perkauman, kami tak ajak untuk membenci kaum lain.

“Buktinya, anda lihat di Kelantan hampir 30 tahun Pas perintah, masyarakat pelbagai kaum di negeri itu hidup aman dan laksanakan amalan harian dengan bebas,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mempunyai strategi tersendiri dalam menawan kembali undi kepada parti itu.

Beliau berkata, sasaran Pas adalah untuk meletakkan 45 peratus calon muda pada PRU14.

“Fokus kita adalah untuk tawan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor, di mana sasaran Pas adalah pengundi Melayu Islam. Empat negeri ini miliki jumlah Melayu Islam yang tinggi, walaupun begitu kita tak ketepikan negeri lain seperti Perlis, Pahang dan Perak,” katanya