YAN - Seorang warga emas maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan di Batu 22, Yan-Gurun, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritendan Shahnaz Akhtar berkata, mangsa, Ahmad Mt Noh, 70 dalam perjalanan dari Yan menghala ke Gurun dan terlibat dalam kemalangan berkenaan pada jam 3.52 petang.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri.

“Bagaimanapun penumpang yang berusia 66 tahun hanya mengalami cedera ringan di bahagian kepala,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang meninggal telah dibawa ke Hospital Yan untuk proses dibedah siasat.

“Hasil siasatan juga mendapati kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan melibatkan bonet dan bumper kereta.

 “Cermin besar hadapan pecah dan lain-lain kerosakan belum diketahui lagi,” katanya.

Kes ini disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.