MUNGKIN ramai belum mengetahui di mana terletaknya Bukit Tok Dun? Sebenarnya bukit berkenaan bukannya baharu, tetapi ia seperti dijelmakan semula selepas pemilik tanah, Felda Global Venture (FGV) melakukan pembersihan kawasan bagi tujuan pertanian.

Selepas ditarah dan ditanam semula FGV, bukit berkenaan menjadi tarikan anak muda bagi tujuan pendakian riadah, malahan turut menjadi aktiviti keluarga terutamanya pada hujung minggu.

Bukit Tok Dun terletak di Pauh kira-kira 20km dari Kangar dan lima kilometer dari pekan Changloon.

Antara yang menjadi tarikannya adalah melihat awan pagi yang umpama karpet putih pada puncak bukit yang terbentang luas sebelum matahari memunculkan sinarnya.

Pendaki merakamkan kenangan ketika di puncak.

Semestinya seluas saujanan memandang, amat mengasyikkan buat mereka yang berpeluang mendakinya hingga puncak.

Ternyata puas, hilang penat walaupun terpaksa mendaki sekitar 2.5km dengan melalui 'trek balak' (laluan lori ketika proses mengeluarkan kayu yang ditebang).

Buat masa ini, Bukit Tok Dun telah ditanam semula dengan anak pokok getah oleh pengendali tanah iaitu FGV.

Bagi yang tidak pernah melalui aktiviti lasak, khasnya mendaki, lokasi ini amatlah sesuai kerana treknya tidaklah sesukar mana, cuma mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit sahaja.

Amat sesuai bagi mereka yang baru berjinak-jinak mendaki.

Boleh dikatakan hanya 30 peratus laluan yang terpaksa mendaki dan melalui laluann yang agak sukar seperti lereng bukit dan halangan kayu.

http://www.sinarharian.com.my/http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.727418.1504323857!/image/image.jpg
Antara halangan terdapat ketika mendaki.

Turut disediakan juga sebuah pangkin untuk kegunaan solat, ruangan untuk pendaki mengadakan BBQ tetapi perlulah meminta kebenaran pihak sepatutnya.

... dan bagi pendaki yang ingin melepaskan 'hajat', terdapat sebuah tandas disediakan, jangan risau.

Bagi guru Maktab Rendah Sains Mara Beseri, Shahril Izzani Mahmood, 33, dia memilih Bukit Tok Dun sebagai lokasi meningkatkan stamina kerana dia banyak melibatkan diri dalam aktiviti lari jarak jauh.

"Lokasi ini amat sesuai bagi aktiviti keluarga, saya akan membawa anak-anak pada hujung minggu bagi mendekatkan mereka dengan alam sekitar.

"Cuma ada bahagian-bahagian tertentu saya rasakan agak bahaya kerana terdapat pasir-pasir dan batu kecil yang boleh menyebabkan pendaki tergelincir," katanya yang juga guru mata pelajaran Geografi.

Tambahnya, dia berasa puas apabila berjaya sampai ke puncak dan melihat awan yang terbentang luas.

Sementara itu, pekerja swasta Anuar Azhar, 29, berkata, ini adalah kali pertama dia mendaki bukit berkenaan selepas dicabar rakan kelab keretanya.

"Saya sendiri tidak yakin, abang tengoklah badan saya macam ini, tapi alhamdulillah saya berjaya sampai ke puncak.

"Apabila lihat anak-anak memecut laju ke atas, saya rasa tercabar juga. Saya gagah naik 'slow-slow', hingga sampai ke atas," katanya dengan wajah cukup ceria.

Manakala Kaunselor Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Wan Kamariah Wan Mat, 33, berkata, ini adalah kali pertama dia mendaki bersama suaminya walaupun pejabat dia terletak kurang satu kilometer dari Bukit Tok Dun.

Shahril dan isterinya, Wan Kamariah merakamkan kenangan ketika di puncak.

"Kami sekeluarga memang sukakan alam sekitar, bila ada ja masa terluang kami selalu bercuti bagi menikmati kehijauan alam sekitar.

"Aktiviti pertama kali ke bukit ini saya sikit terkilan dengan segelintir pendaki yang tidak mementingkan aspek kebersihan walaupun terdapat tong sampah disediakan di puncak bukit," katanya.

Katanya, sikap pendaki yang kurang mementingkan kebersihan amat dikesali. Lebih-lebih lagi terdapat juga pengguna motosikal yang naik ke puncak.

Anuar melepaskan penat sebelum terus mendaki.

"Jelas ketenangan yang dicari pendaki terganggu dengan kehadiran kumpulan bermotosikal. Mungkin satu tindakan perlu diambil segera ketika lokasi ini masih menjadi tumpuan.

"Saya takut nanti lokasi tumpuan ini dipinggirkan oleh pendaki sendiri kerana tidak tahan dengan sikap mereka yang tidak bertanggung jawab," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.