KULIM - Sebanyaknya tiga perubahan utama di Kulim berjaya dibawa BN sejak mengambil alih semula Dun itu lima tahun lalu.

Adun Kulim, Chua Thiong Ghee berkata, tiga perkara tersebut ialah pembangunan alam sekitar, agama dan pendidikan yang perlu diberi perhatian untuk kemakmuran rakyat serta kawasan.

“Paling utama, kebersihan termasuk dalam kategori alam sekitar, di Kulim sudah mencapai tahap yang terbaik berbanding lima tahun lalu dan paling utama, masalah mendapan pasir di dalam longkang berjaya diatasi.

“Kejayaan ini turut membawa kepada tiada lagi banjir kilat di kawasan yang sebelum ini kerap berlaku,” katanya.

Beliau berkata, selain jalan di kebanyakan di kawasan taman perumahan diturap baru dan penambahan jumlah lampu jalan juga berjaya dilakukan dalam usaha membangunkan Dun ini.

“Saya tak suka kawasan jalan itu ditampal saja, sebaliknya diturap semula. Begitu juga dengan lampu jalan kita berjaya membuat pencahayaan di kawasan kampung yang dulunya suram kini bercahaya dengan terang,” katanya.

Tambahnya, perkara kedua berkaitan projek membina dan membaik pulih rumah ibadat terutama surau dan masjid turut diberi penekanan.

“Kita mahu infrastruktur rumah ibadat seperti masjid berada dalam keadaan memuaskan bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik,” katanya.   

Dalam masa sama, pihaknya turut memberi penekanan terhadap pendidikan pelajar di sini untuk memastikan kecemerlangan pelajar terus dicapai.

“Pelbagai peruntukan dan sumbangan diberikan bagi memastikan setiap pelajar terutama dari keluarga tidak berkemampuan dapat meneruskan pelajaran, kerana kita sedar pelajaranlah paling penting untuk membentuk generasi yang terbaik,” katanya.