ALOR SETAR -  Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap isu pemilihan speaker Dun Kedah dapat diputuskan dengan cara yag baik, tanpa melibatkan pihak Istana.

Menurutnya, sekiranya wakil rakyat yang mementingkan negeri, mereka faham perlantikan speaker adalah penting untuk perjalanan pentadbiran kerajaan negeri bagi dimanfaatkan oleh rakyat.

"Saya berharap Adun pembangkang akan membantu kita dalam soal pemilihan speaker kerana bajet diluluskan, boleh kita belanja dan keputusan kerajaan dapat dilaksanakan.

"Kerajaan negeri sudah mengadakan pertemuaan dengan Adun BN, tetapi dengan Adun Pas akan diadakan dalam masa terdekat. Saya berharap mereka (Adun Pas) juga berlapang dada dalam hal ini kerana respon yang diterima daripada pelbagai pihak terutamanya netizen bahawa tidak ada siapa pun berminat untuk mengalami satu lagi pilihan raya kecil (PRK).

Ketika ditanya, adakah campur tangan  pihak istana dapat menyelesaikan isu pelantikan speaker? Beliau berharap isu itu dapat diselesaikan di peringkat Adun.

"Seboleh-bolehnya biarlah kita selesaikan keputusan ini di peringkat kita, saya berharap tidak perlulah perkara seperti ini diangkat ke peringkat istana sehingga dapat perkenan oleh Sultan Kedah,"katanya.

Mengulas persoalan utama dibangkitkan oleh pihak pembangkang bukan pertikaikan isu pelantikan malah ia lebih kepada isu siapakah calon dipilih nanti, adalah calon itu berkaliber?

"Insya ALLAH kita akan cadangkan calon-calon speaker yang berkaliber, kita tidak akan meletakkan sebarangan orang,"katanya.

Sebelum ini Mukhriz meminta pembangkang merestui calon speaker Dun yang akan dikemukakan Pakatan Harapan  nanti bagi membolehkan segala kerja pentadbiran berjalan lancar, sekali gus mengelak daripada diadakan pilihan raya negeri.

Ini berikutan jumlah kerusi Harapan dengan pembangkang yang sama, iaitu 18, manakala jumlah majoriti mudah diperlukan untuk melantik Speaker ialah 19.

Pada PRU14, Harapan dapat membentuk kerajaan negeri baharu di Kedah berikutan kedudukan yang kukuh apabila memenangi 18 kerusi daripada 36 kerusi Dun. Malah, Pas memperoleh 15 kerusi dan tiga lagi kerusi dimenangi BN.