KULIM - Durian di negeri ini tidak akan berlaku lambakan memandangkan penawaran masih lagi rendah berbanding permintaan yang tinggi.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kedah, Anuar Mohamed berkata, tindakan peniaga yang menawarkan harga durian begitu murah serendah RM1 kerana mereka mendapatkan bekalan dari luar negeri seperti Pahang, Perak dan Pulau Pinang.

“Setakat ini di negeri ini tak ada lambakan berlaku, durian masih dijual dengan harga terkawal antara RM5 hingga RM10 mengikut gred bagi durian kampung.

“Kalau ada yang jual murah sehingga RM1 sebiji itu, kita kena lihat gred dan saiz, serta dari mana datangnya durian itu.

“Musim kali ini memang pengeluaran buah agak banyak namun tempoh masa agak panjang bermula Jun hingga September kita jangkakan tiada lambakan akan berlaku seperti tahun 2014 lalu,” katanya ketika ditemui pada Program Best Buy dan Jimat Belanja Dapur di pasar tani , di sini.

Katanya, sekiranya ada lambakan berlaku,  Fama bersedia untuk membelinya dari pengusaha.

“Kalau durian kita akan beli dan proses di kilang kita untuk jadikan pes dan tempoyak, bagi cempedak pula kita akan proses isinya untuk dijadikan cempedak sejuk beku,” katanya.

Selain itu, Anuar berkata program Best Buy dan Jimat Belanja ini akan diteruskan di seluruh negeri bagi memberi peluang masyarakat dapat menikmati buah bermusim ini.

“Selepas Kulim kita akan buat di Sungai Petani pula nanti, kita akan bawa semua buah tempatan bermusim ini supaya masyarakat dapat membeli dan menikmatinya.

“Sudah pasti harga yang ditawarkan berpatutan dan berbaloi,” katanya.