SUNGAI DUA - Kecelaruan kini jelas telah menyelubungi rakyat Malaysia khususnya orang-orang Islam apabila isu mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mula diperlihatkan oleh pihak-pihak terlibat khususnya kalangan mereka yang kini mentadbir kerajaan.

Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Muhammad Yusoff Mohd Noor berkata, sebagai rakyat di negara merdeka dan berpegang kepada asas-asas perlembagaan persekutuan tindakan seumpama itu adalah jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menjadi agama rasmi negara.

"Tindakan atau dalam apa jua bentuk sekalipun yang terarah kepada soal mengangkat golongan LGBT di negara ini haruslah dihentikan serta merta kerana ianya jelas bertentangan dengan budaya semua kaum.

"Umno Bahagian Tasek Gelugor menolak sebarang usaha ke arah itu dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak waima atas nama hak kemanusiaan sekalipun kerana budaya LGBT membawa lebih banyak kemudaratan kepada masyarakat," katanya.

Tegasnya,  walaupun masyarakat sedar kewujudan kumpulan LGBT, namun tidaklah ke tahap mengiktiraf  dan menjadikan mereka sebahagian daripada budaya masyarakat di negara ini.

Malah beliau turut menyelar tindakan penganjur Georgetown Festival yang mempamerkan gambar ikon LGBT sebelum ini dan berharap isu tersebut tidak berulang lagi, terutama program yang melibatkan kerajaan negeri.

"Kita mendesak agar pihak kerajaan lebih menumpukan kepada usaha untuk menyedarkan golongan ini melalui kaunseling dan program pemulihan.

"Ia dilihat lebih bertepatan daripada menumpukan kepada soal yang remeh seperti penggunaan tandas dan sebagainya kerana usaha sedemikian memberikan gambaran seolah-olah kumpulan ini diiktiraf kerajaan," katanya.