PERMATANG PAUH - ''Terima kasih kepada rakyat Permatang Pauh yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,'' demikian kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, beliau sesekali tidak akan melupakan rakyat di Permatang Pauh ini.

"Sokongan diberikan kepada saya sejak saya bertanding dari dulu, isteri saya bertanding bagi kerusi PKR, kemudian saya pula, dan Nurul Izzah. Alhamdulillah, sokongan kekal dari dulu sehingga kini.

"Kini saya hanya rakyat biasa seperti saudara semua dan buat masa ini saya tidak akan bertanding di mana-mana kerusi lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di hadapan ribuan rakyat di Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Permatang Pauh di Dataran Rakyat Permatang Pauh, Guar Perahu di sini tadi.

Hadir sama dalam majlis itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan pimpinan Pakatan Harapan.