BALING - Penduduk Lorong 1 Fasa 3 Taman Harmoni mempersoalkan tindakan pemaju membenarkan perumahan tersebut diduduki, susulan kejadian tebing runtuh yang menyebabkan bahagian bilik dan stor sebuah rumah di situ rosak teruk, Sabtu lalu.

Zikriyuddin Ahmad, 39, berkata, status perumahan tersebut dicurigai selepas kejadian tebing runtuh menimpa sebuah rumah di situ.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan bahagian bilik rumah tersebut rosak teruk.

“Kita curiga dengan sijil layak menduduki taman ini, seolah-olah ada sesuatu tak kena. Nak diikutkan ciri-ciri tebing itu tak ikut syarat kelulusan.

“Tebing itu dibina terlalu hampir dengan bahagian belakang rumah dan terlalu curam. Bagaimana sijil layak menduduki itu diluluskan?" katanya, semalam.

Menurut Azani Abidin, 35, bahagian dalam tebing itu didapati tidak kukuh dan berpotensi runtuh pada bila-bila masa terutama jika hujan.

Katanya, jika pihak berwajib tidak mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah tersebut, dikhuatiri boleh mengancam keselamatan 10 rumah yang terletak berhampiran dengan tebing itu.

“Rumah saya terlalu hampir dengan kawasan tebing runtuh. Risau benda sama berulang sebab tebing ni terlalu nipis dan curam 90 darjah. Sepatutnya tak boleh curam macam ni.

"Saya harap keseluruhan bahagian tebing itu dibaiki segera kerana berisiko untuk runtuh sekali lagi,” katanya.

Mangsa, Mohamad Azhar Sirat, 50, berkata, struktur ruang tamu dan bahagian hadapan rumahnya juga dikhuatiri terjejas, kesan daripada kejadian tersebut yang menyebabkan bilik belakang rosak teruk.

Susulan itu, dia menggesa syarikat pemaju dan Majlis Daerah Baling (MDB) mengambil tindakan segera sebelum kejadian lebih buruk berlaku sehingga mengancam keselamatan penduduk.

“Alhamdulillah, kejadian ni tak libatkan kemalangan jiwa sebab tak ada sesiapa di rumah waktu tu. Tapi runtuhan tu menjejaskan dua pertiga daripada kediaman saya.

“Saya menuntut pemaju membayar ganti rugi dan menjalankan segera kerja-kerja pembersihan runtuhan,” katanya.

Laporan polis juga sudah dibuat berhubung kejadian tersebut.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Penduduk Orang Asli Sungai Kelit, Raub terputus hubungan apabila berlaku tanah runtuh melibatkan jalan masuk ke kampung berkenaan awal pagi tadi.
  • GERIK - Pengguna Jalan Raya Timur Barat (JRTB) diminta berhati-hati ketika melalui laluan tersebut terutamanya dalam musim tengkujuh kebelakangan ini.
  • GUA MUSANG - Runtuhan tanah yang berlaku di perkampungan Orang Asli, Pos Sangwai A, pada 21 November lalu menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan mula meninggalkan rumah masing-masing.
  • GUA MUSANG - Penduduk kampung Orang Asli di Pos Sangwai, Lojing, di sini, hidup dalam ketakutan apabila diancam bahaya dengan runtuhan tanah yang berlaku kira-kira 40 meter dari kawasan rumah mereka.
  • SERI KEMBANGAN - “Kejadian terlalu pantas, bila saya toleh saja pokok, tanah semua dah gelongsor jatuh akibat runtuhan tebing yang berlaku,”kata saksi kejadian tanah runtuh di Jalan 1A/2, Taman Lestari Perdana, di sini, petang semalam.