Demonstrasi aman yang dijalankan pada 4 Julai lalu di hadapan Masjid Kampung Genting.
BALIK PULAU – Penduduk Kampung Genting menarik nafas lega apabila lokasi penubuhan Asian Women’s Leadership University (AWLU) yang sepatutnya dibina di Kampung Genting kini diubah lokasinya ke Jalan Pondok Upeh.
Kata persetujuan itu dicapai hasil rundingan Kerajaan Negeri dan pihak universiti yang akhirnya bersetuju untuk mengubah lokasi selepas mengambil kira rayuan penduduk setempat merangkumi tanah seluas 39.48 hektar.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, beliau telah menghantar surat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala pada 10 Julai lalu memohon pertimbangan pilihan tapak pembinaan universiti bertaraf antarabangsa itu.
“Kebanyakan pemilik tanah yang menghadiri mesyuarat di Komtar pada 3 Julai lalu memahami akan kepentingan kewujudan insititusi pengajian tinggi swasta itu namun ada sesetengah daripadanya masih mahu mengekalkan tanah hak milik warisan pusaka mereka.
“Justeru itu, surat permohonan dihantar bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan dan pengelola AWLU berbincang dan menimbang cadangan yang dikemukakan memandangkan kawasan Pondok Upeh juga merupakan kawasan strategik bagi tujuan pembinaan universiti itu” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas mengadakan perjumpaan bersama pemilik tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya semalam.
Turut menghadiri perjumpaan itu ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman; Speaker Dun, Datuk Abdul Halim Hussain dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff. Antara pihak berwajib dan Kerajaan Pusat dijangkakan akan bermula pada penghujung bulan ini.
Melalui Projek Permulaan (EPP) yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu, Kerajaan Persekutuan menjangkakan pelaburan sebanyak RM492 juta dengan menambah impak keluaran negara kasar sebanyak RM74.42 juta menjelang tahun 2020.
Selain itu, lebih 100 penduduk tempatan turut mengadakan demonstrasi di hadapan Masjid Kampung Genting semalam bagi membantah pengambilan tanah yang terdiri daripada penempatan dan dusun buah-buahan pada 4 Julai lalu.
Guan Eng berkata, beliau menerima surat balasan yang menyatakan persetujuan bahawa cadangan penglokasian semula di Pondok Upeh diterima kedua-belah pihak dan tanah di Kampung Genting tidak akan diambil bagi tujuan terbabit
“Pada mulanya, kawasan Pondok Upeh merupakan cadangan lokasi utama yang dikemukakan kepada pengelola AWLU selain Batu Kawan namun ditolak dan Kampung Genting dipilih berikutan lokasi terbabit dikira lebih sesuai untuk pembinaan universiti wanita pertama itu.
“Bagaimanapun, proses pengambilan tanah Kampung Genting tidak akan diteruskan selepas mengambil kira permohonan dan rayuan yang dikemukakan penduduk,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengenepikan perbezaan politik dan bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi pembangunan pendidikan di Balik Pulau.
“Kerajaan Negeri tidak akan mengambil tanah mana-mana penduduk sekiranya ia tidak ada pelan lengkap dan tidak berkaitan dengan mana-mana projek awam untuk kepentingan masyarakat setempat.
“Diharapkan keputusan ini akan menggembirakan kesemua pemilik tanah dan penduduk di sini,” katanya.
Seorang daripada pemilik tanah, Abas Darus, 50 berkata, dia berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan.
“Walaupun tidak ada jaminan yang tanah kami akan diambil satu hari nanti, namun buat masa ini saya gembira kerana dapat meneruskan kehidupan dengan selesa.
“Walaupun tanah milikan yang terlibat hanyalah 0.4 hektar, namun ianya amat bermakna kerana ia merupakan tanah pusaka hasil tinggalan hampir dua generasi.
“Kawasan itu dijadikan kebun buah-buahan dan tempat saya beriadah setiap petang,” katanya.




