POKOK SENA - Setiap kali menjelangnya Ramadan sudah pasti memberi banyak kenangan kepada anak perantauan terutamanya bagi mereka yang belajar jauh dari tanah air.

Sambil menimba ilmu di luar negara, persediaan menyambut Ramadan juga perlu dilakukan apatah lagi tinggal bersama rakan-rakan senegara.

Bagi 20 pelajar dari Kemboja yang menuntut di Kolej Islam Darul Ulum, di sini, sudah pasti menghadapi pelbagai dugaan dalam menjalani kehidupan menyambut Ramadan.

Bagi Zulkifli Amin, 24, berkata, kebanyakan pelajar Kemboja datang dari golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, keluarganya sendiri terpaksa bergadai lembu dan kambing bagi membiayai perjalanan menuntut ilmu di Malaysia.

“Sepanjang mengikuti pengajian dekat sini saya hanya mengharap sumbangan orang ramai sebab keluarga tak hantar duit.

"Kami juga tanam sayur dan tangkap ikan untuk tampung sumber bahan mentah. Tapi syukur sangat sebab penduduk dan orang ramai sentiasa hulur makanan," katanya yang mengikuti Diploma Syariah.

Katanya, bagi menjimatkan perbelanjaan mereka akan bergotong-royong untuk masak setiap hari.

Pada Ramadan ini, pelajar Kemboja itu membahagikan tiga kumpulan dengan tugas menyediakan makanan mentah, memotong bahan sebelum dimasak dan memasak.

Rakannya, Maturidy Harun, 23, berkata, setiap kali Ramadan rezeki mereka melimpah kerana hasil sumbangan dari masyarakat.

Katanya, setiap kali Ramadan beberapa rakannya akan dilantik menjadi imam di surau berdekatan secara bergilir-gilir dan berjemaah dengan penduduk kampung itu.

"Walaupun kami tidak meminta sebarang bayaran tetapi sumbangan mereka seperti bekalan makanan cukup memberi rahmat dalam menjalani puasa," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA ROMPIN - Tiga pekerja kontraktor beragama Islam dicekup tidak berpuasa dan makan di dalam sebuah lori sambil menghadap laut di Pantai Mempisang di sini, kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.