GEORGE TOWN - Peminjam yang gagal membayar semula pinjaman Tabung Usahawan Tani (TUT) Pulau Pinang akan dimasukkan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) sebelum mereka disenarai hitam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa serta Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata ketika ini 30 peratus daripada 92 peminjam TUT gagal membayar hutang diberikan kepada mereka manakala yang lain membayar mengikut jadual.

"Tujuan tabung itu untuk memberi bantuan pinjaman maksimum RM5,000 kepada usahawan tani berusia 40 tahun ke bawah dalam usaha kerajaan negeri memberi galakan kepada golongan muda menjadikan sektor asas tani sebagai kerjaya mereka.

"Saya minta mereka yang dapat pinjaman TUT agar membayar balik ikut jadual...jika selepas beberapa surat amaran masih gagal membayar, kami tidak teragak-agak untuk senaraikan mereka (tidak bayar hutang) dalam CCRIS sebelum terus disenarai hitam," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cek TUT, di sini hari ini.

Seramai 19 usahawan muda menerima Cek TUT berjumlah RM5,000 setiap seorang.

Dr Afif berkata kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM250,000 setahun bagi TUT yang diperkenalkan sejak 2015 dan sehingga kini 70 peratus daripada peminjam berjaya menambah pendapatan mereka.

"Kerajaan negeri juga dalam usaha meningkatkan jumlah bantuan pinjaman daripada RM5,000 kepada RM10,000, RM15,000 dan RM20,000 kerana percaya dengan peningkatan itu usahawan dapat mengembangkan perusahaan serta pendapatan mereka," katanya. -Bernama