JITRA - Seorang ibu tunggal di Kampung Aman di sini menghabiskan usia emas menjaga anak perempuannya yang dilahirkan kurang upaya sejak kecil.

Halimah Rejab, 64, berkata, anak keduanya, Suhaida Sha’aidin, 35, memerlukan bantuan orang lain untuk menguruskan diri sendiri termasuk makan dan minum.

Menurutnya, walaupun anaknya itu sudah dewasa, tetapi dia masih memakai lampin pakai buang dan makan seperti bayi.

“Mak cik yang duk jaga dia selama ni. Nak kerja pun tak boleh, tak ada orang nak ganti jaga dia. Tambah anak mak cik perempuan. Dia tak boleh makan benda keras, kena suap Nestum saja. Selalu mak cik bancuh bubuh gula sikit, lepas tu bancuh susu dalam botol. Nestum tu kena bagi makan sulam dengan susu. Kalau tak, dia tak makan. Mesti muntah balik.

 

“Lampin pun duk pakai lagi, tapi dua tiga hari ni mak cik tak ada duit nak beli, memang tak pakai la. Baru-baru ni ada sekeping saja, mak cik bagi pakai juga sebab dia mai bulan,” katanya.

Menurut Halimah, sebelum ini anaknya yang mempunyai kad OKU kategori masalah pembelajaran menerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Mula tahun ni duit bantuan dah tak dapat, kalau tak tiap-tiap bulan kami dapat la RM250. Bolehlah buat beli lampin, susu dan nestum Suhaida.

“La ni semua keperluan Suhaida tu, anak bongsu mak cik (Mohd Amin Sha’aidin, 28) yang duk beli. Dia kerja pasar raya dekat sini saja, tapi gaji dia pun sikit, tak sampai seribu. Anak lelaki seorang lagi duk buat kerja kampung saja. Ada kerja, ada la duit. Mak cik nak bagi belajar pandai-pandai dulu pun tak ada duit,” katanya.

Halimah kehilangan suami pada Oktober tahun lalu selepas sakit akibat terjatuh ketika mereka mengangkut barang untuk berpindah rumah.

“Dulu kami duk di Tanah Rezab Sungai, Kampung Tanjung Pauh. Lepas tu kerajaan nak buat kawasan tebatan banjir kat situ.

“Kerajaan ada bagi duit pampasan, kami guna duit tu beli tanah nak buat rumah. Tapi sampai la ni tak boleh nak buat apa sebab ada ladang kelapa sawit atas tanah tu. Tu yang kami mai sewa kat sini,” katanya yang menyewa rumah dua bilik dengan bayaran sebanyak RM180 sebulan.

Sementara itu, Pegawai JKM Kubang Pasu, Mohd Fadhuli Wahab berkata, pihaknya akan berhubung semula dengan Halimah untuk membantu anaknya mendapatkan kad OKU yang baharu.

“Tapi sebelum itu anaknya perlu buat pengesahan semula daripada pegawai perubatan. Kami akan hulur bantuan sewajarnya selepas semua maklumat dan dokumen berkaitan diperoleh,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PAKA - Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka dan penduduk menjalankan gotong-royong membina tandas baharu di rumah seorang lelaki kurang upaya (OKU) di Kampung Nyior, di sini, baru-baru ini.
  • ALOR GAJAH - “Saya akan jaga dan belai Adik Ya, selagi hayatnya masih ada serta tak kisah apa pun orang nak kata tentang anak saya,” kata Siti Zuhaini Mohd Zainol, 32, di rumahnya di Taman Bidara Permai.
  • DUNGUN - Kehilangan gadis OKU, Nik Nur Shahindah Nik Zawawi, 18, yang didapati tiada di rumah keluarganya di Kampung Gong Pasir, di sini, sejak awal pagi semalam membuatkan keluarganya tidak keruan.
  • ALOR GAJAH - Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Pengkalan Balak, dekat sini, kesal dan terkilan apabila seorang wanita yang didakwa meminjam wang daripadanya, masih gagal membayar semula wang berkenaan.
  • PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan sedang memberi latihan kepada 1,300 individu kelainan upaya atau OKU bagi menjadikan mereka lebih berdikari dan boleh membantu diri sendiri menjana rezeki.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.