LANGKAWI - Polis menahan seorang lelaki kerana menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di laman Facebook.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Ibu pejabat Polis daerah Langkawi, individu berkenaan didakwa membuat kenyataan penghinaan yang keterlaluan terhadap Mahathir dan agama Islam.

Menurut kenyataan itu, lelaki berkenaan ditahan semalam, susulan laporan polis yang dibuat wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 15 Mei lalu.

Kes disiasat bawah Seksyen 233 Akta SKMM.

Suspek direman sehingga 20 Mei depan untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, tujuh NGO membuat laporan polis meminta tindakan tegas diambil terhadap mereka yang memuat naik kenyataan jelik di laman sosial terhadap Mahathir, baru-baru ini.

NGO itu diketuai Pengerusi Pertubuhan Melayu Gagah Bangsa Bersatu (Kumega) Kedah, Shaiful Affandi Bachtiar di Balai Polis Kuah.

Enam lagi NGO  ialah Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia, Pertubuhan Muafakat Amal Warisan Bersatu, Pertubuhan Kebajikan Warisan Islam Malaysia, Generasi Waja Langkawi, Persatuan Seni Silat Harimau Hasleng Malaysia dan Pertiga Langkawi.

NGO berkenaan turut melampirkan kenyataan yang didakwa menghina secara keterlaluan terhadap Mahathir yang kini merupakan perdana menteri dan Ahli Parlimen Langkawi.

Shaiful Affandi berkata, mereka mahu polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya.

"Tun Dr Mahathir telah banyak berjasa dalam pembangunan di Malaysia, khususnya Langkawi.

"Tindakan tegas pihak berkuasa diharap  menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat," katanya.