ALOR SETAR – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini dikurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) di Istana Anak Bukit dekat sini.

Darjah kebesaran itu disampaikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili Yang di-Pertuan Agong Sultan Mohamad V.

Turut berangkat, Sultanah Kedah Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff.

Sultan Sallehuddin yang merupakan Sultan Kedah ke-29, akan ditabalkan pada 22 Oktober ini di Istana Anak Bukit.

Darjah kebesaran itu lazimnya diberikan kepada Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan Raja-Raja Melayu yang baru sahaja ditabalkan di negerinya.

Terdahulu ketibaan perdana menteri bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada 5.20 petang diiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria.

Berangkat sama ke istiadat itu ialah Tunku Bendahara Kedah Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan isteri Toh Puan Bendahara Kedah Datin Seri Diraja Puan Seri Datuk Nora Abdullah; Tunku Temenggong Kedah Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.- Bernama