SUNGAI NIBONG - Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang nyaris rentung dan 80 peratus badannya melecur apabila pencawang utama TNB di Jalan Kangsar meletup dalam kejadian kelmarin disahkan meninggal dunia petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, mangsa, Zaini Ismail, 35, menghembuskan nafasnya yang terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang kira-kira jam 5.15 petang berikutan mengalami melecur hampir keseluruhan badannya.

“Punca kematian adalah melecur teruk iaitu 80 peratus badannya terbakar dan melecur selepas pencawang utama TNB di Jalan Kangsar meletup secara tiba-tiba,” katanya kepada media hari ini.

Dalam kejadian pada jam 7.30 malam itu, Zaini dikatakan sedang membaiki kerosakan aliran bekalan elektrik pada pencawang itu dengan diawasi lima pekerja TNB sebelum kejadian.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba satu daripada peralatan di pencawang itu meletup dan mengeluarkan api sebelum menyambar mangsa.

Akibat letupan berkenaan, beberapa premis di kawasan itu terputus bekalan elektrik.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.