• Pelajar SMJK Chung Hwa Confucian gembira memperolehi keputusan cemerlang STPM Pelajar SMJK Chung Hwa Confucian gembira memperolehi keputusan cemerlang STPM
1 /

GEORGETOWN - Sembilan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan  (SMJK) Chung Hwa Confucian di sini, berjaya mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan  Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Shanta Sankaran, 20, satu-satunya pelajar India yang memperolehi 4A melahirkan rasa gembira kerana berjaya memperolehi keputusan itu.

Beliau berkata, keputusan STPM  adalah hadiah paling bermakna untuk dirinya dan kedua  ibu bapa yang tidak jemu memberi galakan dan sokongan moral.

"Saya bercita-cita menjadi pakar forensik sains. Saya akan melanjutkan pengajian di mana-mana di universiti tempatan dalam bidang itu," katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.

Walaupun, pencapaian STPM di negeri ini menunjukkan penurunan 0.04 peratus menjadikannya 2.53 peratus dengan 3,304 calon pada tahun berbanding tahun 2011 iaitu 2.57 peratus dengan 3,062 calon.

Pengarah Pelajaran negeri, Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata, Pulau Pinang tetap melakar keputusan cemerlang dalam STPM apabila peratus kelulusan secara keseluruhan berjaya mengatasi  keputusan peringkat nasional tiga tahun berturut-turut mulai 2010.

"Kita capai kelulusan 96.15 peratus manakala peringkat nasional ialah 94.44 peratus pada tahun ini.

"Kita buat perbadingan dari 2010 dan menunjukkan peratusan negeri makin meningkat,” katanya kepada media di SMJK Chung Hwa Confucian, Greenlane.

Dalam pada itu, seorang pelajar SMK Tunku Abdul Rahman, Nibong Tebal,  dipilih sebagai  pelajar terbaik Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata, Navanneeta Nair Maran Nair yang cacat pendengaran memperoleh PNGK 3.00.

Sementara itu, seorang pelajar dari Pulau Pinang berjaya menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM peringkat kebangsaan.

“Aw Yeong Zhi Sheng dari SMJK Chung Ling mendapat keputusan  5A dengan PNGK 4.00.

Ahmad Tarmizi berkata, 12 sekolah di negeri ini memperolehi kelulusan 100 peratus dalam STPM 2012.
 
Ia membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Mashoor, SMKA Al-Irshad, SMJK Chung Ling, SMK Tunku Abdul Rahman, SMK Raja Tun Uda, SM Pendidikan Khas Persekutuan, SMJK Chung Hwa Confucian, SMJK Jit Sin, SMK Dato Onn, SMK Telok Air Tawar, SMK Sungai Acheh dan SMK Permatang Rawa.

Dari segi mata pelajaran, beliau berkata 12 mencatatkan peningkatan iaitu Bahasa Cina, Usuluddin, Georgrafi, Sains Sukan, Bahasa Tamil, Syariah, Sejarah, Perakaunan, Matematik S, Matematik Tambahan T, Komputing dan Seni Visual.
 
"Manakala 11 mata pelajaran menurun iaitu Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Bahasa Arab, Kesusasteraan Inggeris, Kesusasteraan Melayu, Ekonomi, Pengajian Peniagaan, Matematik T, Fizik, Kimia dan Biologi," katanya.