TELOK AIR TAWAR - Sikap pemandu menjadi 80 peratus penyebab utama kemalangan jalan raya setakat ini.

Ia termasuk tidak merancang perjalanan dengan betul, tidak rehat dengan cukup sehingga mengganggu konsentrasi ketika pemanduan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang M Thurkahthevi berkata sikap pemandu atau penunggang antara pendorong utama kemalangan berlaku.

“Ada juga daripada faktor lain, namun sikap pemandu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 80 peratus.

“Tidak merancang perjalanan dengan sempurna sekaligus menjadikan keadaan perjalanan menjadi kelam kabut antara faktor yang mendorong berlakunya kemalangan,” katanya.

Tambahnya, seseorang itu perlu mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan yang jauh.

“Kita lihat, kebanyakan pemandu sering mengabaikan tentang rehat yang secukupnya, biarpun tidak mendapat rehat yang cukup mereka tetap meneruskan perjalanan.

“Ia mengakibatkan pemandu letih dan tidak selesa, mengantuk dan risiko untuk berlakunya kemalangan itu sangat tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir dalam Program Semarakan Ramadan Diambang Syawal bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri Pulau Pinang (JKJR), JPJ dan anjuran Kelab WARIS Pulau Pinang.

Jelasnya dalam masa sama, pihak JKJR menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika pemanduan.

“Rancang perjalanan dengan sebaiknya, jangan terburu-buru dan kejar masa, aturlah sebaiknya.

“Dan dalam masa sama utamakan keselamatan, harus diingat bukan sahaja keselamatan diri namun keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.       

 Dalam pada itu, program tersebut turut diisi dengan sumbangan topi keledar kepada penunggang motosikal dan pelekat tentang keselamatan jalan raya.