YAN - Batu kasaran yang disumbang oleh wakil rakyat kawasan ini untuk pembinaan jalan di Kampung Pekan Sungai Yan telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Penduduk, Zulkifli Hashim, 39, berkata batu tersebut telah disumbang pada musim PRU14 lalu bagi tujuan pembinaan jalan.

Katanya, jalan di kampung berkenaan sering becak apabila musim hujan dan ini membahayakan pengguna motosikal kerana perlu melalui jalan yang licin.

"Memang agak lama batu itu diletakkan di situ kerana kerja pembinaan masih belum boleh dilakukan atas sebab tertentu," katanya.

Menurut Zulkifli, kawasan jalan berkenaan ada digunakan untuk meletakkan batu dan pasir bagi kerja pembinaan rumahnya.

"Jadi saya memang rancang nak bagi rumah siap dulu,  boleh perata jalan dengan menggunakan batu kasaran tu," ujarnya.

Zulkifli berkata, kejadian berlaku pada siang hari sekitar jam 8 pagi Jumaat lalu.

"Masa kejadian saya tak ada kat rumah sebab pi rumah mak, tapi ada kawan telefon bagitau, batu yang kami rancang nak buat jalan kena curi.

"Saya pun bergegas mai lokasi tengok dan memang betul batu tu kena curi," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Jelasnya, ada penduduk ternampak sebuah lori yang dipandu seorang lelaki telah mengambil batu berkenaan dan menghala ke Yan Besar.

"Saya tak pasti apa tujuan depa curi, tapi yang pasti ini perbuatan sabotaj .

"Saya tengah kumpul bukti, dan laporan polis juga akan dibuat dengan segera sekiranya maklumat yang dikehendaki lengkap," katanya.