SUNGAI PETANI – Anak keempat daripada enam beradik mengharapkan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban yang ditanggung setelah ibu kesayangan terlantar akibat strok kali kedua, baru-baru ini.

Rapishah Bakar, 48, dari Taman Songket, Sungai Petani berkata, dia hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan sebagai tukang cuci di Klinik 1Malaysia, menggunakan sepenuh wang berkenaan bagi menyara ibunya, Lim Awang, 80.

Menurutnya, walaupun tidak mampu berjalan sejak lapan tahun lalu, namun tahap kesihatan ibunya semakin merosot sejak diserang demam lebih seminggu lalu menyebabkan kaki dan tangannya menjadi kaku.

“Sebelum ini, mak boleh makan macam biasa, bersembang dan gerak-gerak sikit kaki dan tangan walaupun dah lumpuh lapan tahun.

“Tapi sejak demam baru-baru ni, dia jadi teruk lagi, tak boleh makan dan bercakap, nak bagi susu pun guna tiub sahaja,” katanya.

Menurut Rapishah, dalam kejadian terbaharu kira-kira jam 7.30 pagi, ibunya secara tiba-tiba menjadi lesu menyebabkan dia terpaksa menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital.

“Lepas seminggu duduk hospital doktor bagi balik, tapi macam ni lah keadaan dia,” jelasnya.

Rapishah berkata, serangan strok kali kedua menyebabkan kaki dan tangan, ibunya tidak mampu lagi digerakkan selain warga emas itu tidak lagi boleh bercakap dan hanya menggunakan pandangan mata sebagai isyarat untuk berkomunikasi dengan anak-anaknya.

Katanya, ibunya merupakan penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda sebanyak RM300 sebulan.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Sungai Petani, Mashitoh Mohamad Yusoff berkata, pihaknya hadir menyampaikan sumbangan kepada warga emas berkenaan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga.

“Hari ini kami sampaikan sumbangan Barakah kepada penduduk di Dun Sidam dan dalam lawatan sama, kami singgah di rumah kak Rapishah setelah mendapat tahu ibunya baru seminggu keluar dari hospital akibat diserang strok kali kedua,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyampaikan sumbangan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 02119 4100002 4115 atas nama Rapishah.