YAN - Seramai 14 penagih dadah berjaya ditahan hasil serbuan yang dijalankan dari rumah ke rumah di beberapa buah kampung sekitar daerah ini bermula awal pagi semalam.

Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)  Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, mereka yang ditahan berusia antara 18  hingga 48.

Katanya, antara kawasan yang terlibat adalah Kampung Singkir Paya,Teroi, Seberang Jaya, Kuala Sala, Taman Desa Jaya Indah, Sungai Kering, Permatang Buluh dan Kampung Telok Mat Acheh.

"Operasi yang dijalankan hari ini melalui risikan AADK serta maklumat awam berkaitan individu dipercayai terlibat dengan penagihan dadah dan perlu ditahan bertujuan mendapatkan rawatan," katanya.

Menurut Mohamad, operasi itu bermula sekitar jam 9 pagi dan berakhir jam 7 petang dikendalikan 12  anggota AADK Yan dan AADK peringkat negeri.

"Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut dan hasil saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua yang ditahan positif dadah jenis Opiat dan Methamphetamine," katanya.

Mohamad berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan)1983.

"Seramai sembilan orang akan direman di lokap AADK Daerah Kuala Muda sebelum dibicarakan serta lima  yang lain diberi jaminan," katanya.