ALOR SETAR - Umat Islam hendaklah ikhlas dalam melaksanakan sebarang pekerjaan supaya mendapat keredaan ALLAH SWT dan beroleh ganjaran syurga di akhirat kelak.

Pesanan ini dikongsi penerima Tokoh Maal Hijrah Kedah, yang juga pengasas Maahad Tahfiz al-Quran al-Abidin, Zainol Abidin Sudin, 82.

“Syukur kepada ALLAH SWT atas anugerah ini. Terima kasih kepada pihak yang iktiraf sumbangan saya dalam pengajian Islam,” katanya, yang pertama kali menerima anugerah seumpama itu.

Anugerah disampaikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, yang berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah peringkat negeri, di Wisma Darul Aman.

Zainol Abidin berkata, Maahad Tahfiz al-Quran al-Abidin, di Pokok Tai, Pendang diasaskan pada 2003, dan kini dikenali sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Tahfiz al-Abidin.

Beliau yang juga pengerusi sekolah itu berkata, Maahad Tahfiz al-Abidin pernah dianugerahkan sekolah cemerlang peringkat negeri dua tahun berturut-turut (2014-2015), sebelum beliau menubuhkan Sekolah Tahfiz Darul Quran dan Hadis (Darwis) di Sungai Rotan, Gurun.

“Sudah tentu ketika mahu bina sekolah, saya berdepan kesukaran, namun atas usaha guru-guru, ramai tampil membantu terutama apabila kita mahu membuka pusat pengajian. Ada waris menderma dan beri tanah untuk dirikan bangunan baru Darwis, yang kini terdapat sekolah, masjid, serta pondok moden warga emas,” katanya.

Meskipun sudah mencecah 82 tahun, beliau masih aktif mencurah keringat untuk agama dan anak bangsa, dan giat mengajar di surau dan masjid, selain masih bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Sekolah Menengah Agama An-Nahdhah, Bukit Besar.

Zainol Abidin juga aktif dalam penulisan dan turut menghasilkan sembilan buah buku agama dan buku teks Arab.